Islam is the way of my Life

Sunday, February 8, 2009

Revolusi Iran

Pengenalan

Revolusi Iran turut dikenali sebagai Revolusi Islam; Bahasa Parsi: "Enghelab Eslami" adalah sebuah revolusi yang mengubah kerajaan Iran daripada sistem pemerintahan monarki kepada sistem Republik Islam. Pertukaran ini dibuat melalui pungutan suara rakyat Iran oleh Ayatollah Ruhollah Khomeini, setelah beliau berjaya mengusir raja Iran terakhir, Shah Mohammad Reza Pahlavi keluar dari Iran.

Revolusi ini adalah sebuah gerakan yang unik kerana kejayaannya mengejutkan seluruh dunia. Sebab ia sesuatu yang unik kerana ia bukanlah berpunca daripada kekalahan dalam peperangan, krisis kewangan ataupun pemberontakan golongan bawahan mahupun tindakan ketenteraan; seperti revolusi-revolusi lain dalam sejarah bertulis manusia. Revolusi Iran berlaku dengan pantasnya dan berjaya menjatuhkan sebuah rejim yang dilengkapi dengan kuasa tentera yang kuat dan hebat; dan rejim ini digantikan dengan sistem pemerintahan teokrasi yang diundi berdasarkan tahap kemuliaan seseorang itu.

Revolusi ini terjadi kepada dua peringkat. Peringkat pertama bermula pada pertengahan 1977 hingga tahun 1979 yang dipimpin oleh pihak liberal, golongan haluan kiri dan kumpulan agama. Kesemua mereka memberontak menentang Shah Iran. Peringkat kedua yang turut dikenali sebagai Revolusi Islam menyaksikan naiknya Ayatollah menjadi pemimpin revolusi.

Tentu sahaja, catatan tentang konsep revolusi dalan sejarah Islam baru lengkap jika menyebut Ayatullah Khomeini dari Iran. Beliau menggunkan revolusi Iran bagi menggulingkan Syah pada 1979 dan mendirikan pemerintahan ulama. ( John L. Espito, 200, )

Latar Belakang Revolusi

1940: Kemahkotaan Shah

Shah Mohammad Reza Pahlavi mula memegang kuasa pada tahun 1941, menggantikan ayahanda beliau, Shah Reza. Penggantian ini adalah menerusi rampasan kuasa oleh Inggeris dan Kesatuan Soviet yang menyebabkan Shah Reza terpaksa melarikan diri ke luar negara dan puteranya dipilih menggantikan beliau dengan harapan puteranya akan menjadi sekutu Inggeris dan Kesatuan Soviet. Shah Reza dikenali sebagai seorang yang nekad untuk memajukan negaranya tetapi pada masa yang sama bertindak kasar terhadap para ulama Iran. Pada tahun 1953, beliau melarikan diri keluar Iran apabila terjadi pergeseran antara beliau dengan Perdana Menteri Iran, Mohammad Mossadegh. Pergeseran ini berpunca daripada polisi Mohammad Mossadegh yang ingin memiliki negara yang dipenuhi lapangan minyak Iran ini dan meletakkan kuasa tentera di bawah penguasaan beliau. Melalui kudeta yang dibantu oleh CIA dan M16 (Operasi Ajax), Mossadegh berjaya digulingkan dan Shah kembali berkuasa.

Seperti ayahanda beliau, Shah Pahlavi meneruskan permodenan Iran. Beliau menjalinkan hubungan yang rapat dengan Amerika dan beberapa negara-negara barat lain dan sering kali mendapat pengiktirafan daripada Amerika kerana pendirian beliau yang menentang komunis. Namun begitu, pihak pembangkang yang terdiri daripada kumpulan berhaluan kiri, nasionalis, dan ulama selalu mengeluarkan kritikan kerana pemerintahan beliau melanggari perlembagaan Iran. Selain itu, rasuah dalam politik berleluasa dan juga tekanan politik menerusi badan perisikan beliau iaitu SAVAK.[1]

Revolusi Iran adalah revolusi yang terbesar di Timur Tengah abad ini. Gerakan rakyat yang mendukungnya jauh lebih besar dari gerakan popular yang menentang kekuasaan kerajaan di tahun 1906 mahupun 1953 di bawah Dr. Mossadeq. Ia juga lebih besar dari gerakan popular di Mesir tahun 1919 mahupun zaman Nasser tahun 1956. gerakan penumpasan monarki di Iran jauh lebih dahsyat bila dibandingkan dengan yang terjadi di Turki tahun 1922. di Mesir tahun 1952 mahupun di Iraq tahun 1958. Bila gerakan penumbang monarki di negara-negara yang disut di atas itu punya hubungan dengan barat. ( Nasir Tamara, Agnes Samsuri, 1982, 103 )

1960s: Naiknya Ayatollah Khomeini

Ayatollah Khomeini, pemimpin revolusi Iran ini mula menampilkan dirinya dalam arena politik sekitar awal tahun 1963. Beliau mengetuai kumpulan pembangkang menentang kerajaan Shah dan rancangan Revolusi Putih beliau. Antara perkara-perkara yang diperdebatkan oleh Ayatollah ialah hak mengundi untuk perempuan, perubahan undang-undang pilihan raya yang yang membenarkan kumpulan agama minoriti memegang jawatan tinggi dalam kerajaan dan perubahan dalam undang-undang perkahwinan. Kemudiannya, beliau mengisytiharkan Shah telah "memulakan proses kehancuran Islam di Iran".

Disebabkan oleh pengisytiharan beliau, Khomeini ditangkap pada 5 Jun 1963 dan 3 hari selepas itu rusuhan berlaku di seluruh Iran. Pihak polis bertindak balas dengan menggunakan kekerasan terhadap perusuh-perusuh ini. Menurut laporan daripada kerajaan Pahlavi, seramai 86 orang terbunuh. Penyokong Khomeini pula mendakwa sekurang-kurangnya 1500 terbunuh manakala pihak polis yang dibentuk selepas revolusi mengumumkan lebih daripada 380 orang terkorban. Khomeini ditahan di rumah beliau selama 8 bulan dan kemudiannya dibebaskan. Setelah pembebasan beliau, Khomeini meneruskan kegiatan beliau mengkritik Shah terutamanya mengenai hubungan rapat Shah dengan Israel dan juga "penganugerahan" imuniti diplomatik pegawai tentera Amerika di Iran. Pada November 1964, Khomeini sekali lagi ditangkap dan kali ini beliau dibuang negeri selama 14 tahun dan kembali semula ketika revolusi.

Selepas buangan Ayatollah, tentangan terhadap Shah ditekan atau disekat oleh SAVAK dan ini menghasilkan keadaan tenang buat seketika. Namun, pada masa yang sama, terdapat gerakan pemulihan Islam dan gerakan ini mendapat sokongan yang jauh lebih hebat daripada proses permodenan Shah. Idea Khomeini mengenai negara Islam di dalam tulisan beliau, wilayat al-faqih mendapat sambutan yang hebat. Menurut Khomeini, umat Islam haruslah mengaplikasikan undang-undang sharia dan untuk menguatkuasakan undang-undang ini, kerajaan Islam haruslah diperintah oleh ulama.

Walaupun Khomeini jarang menyentuh mengenai buku ini dalam temu ramah beliau di luar negara tetapi di Iran, ia disebarkan dengan meluasnya. Buku ini kemudiannya menjadi sumber inspirasi dalam pemberontakan rakyat Iran terhadap Shah Reza.

1970s: Situasi di Iran Sebelum Revolusi

Shah Mohammad Reza Pahlavi

Terdapat beberapa peristiwa pada tahun 1970-an yang menyebabkan tercetusnya revolusi. Antaranya ialah layanan mewah kerajaan kepada rakyat asing sedangkan ramai rakyat tempatan hidup melarat, kadar inflasi yang melonjak tinggi diikuti dengan jurang antara kaya dan miskin yang semakin besar, sikap sekularisme Shah Mohammad Reza dan juga dakwaan bahawa SAVAK merupakan punca kematian pemimpin Islam yang berfikiran moden, Ali Shariati dan juga penglibatan SAVAK dalam kematian putra Khomeini, Mostafa (di Tehran).

Pada Oktober 1971, terdapat sebuah sambutan untuk ke 2500 bagi meraikan pengasasan negara Parsi. Sambutan ini diadakan selama tiga hari di Persepolis dan tetamu-tetamunya hanyalah warga-warga asing. Ini merupakan sebuah pesta yang menelan belanja yang tinggi (dianggarkan menelan belanja sekurang-kurangnya $100 juta) Hidangan untuk pesta itu pula disediakan oleh tukang masak yang dibawa dari Paris. Pada masa yang sama, kawasan sekitar Persepolis iaitu wilayah Sistan dan Baluchestan mengalami kemarau yang teruk dan ramai penduduk di kawasan itu dan Iran umumnya hidup kelaparan.

Pada lewat 1974, berlaku peningkatan harga minyak di pasaran dunia. Namun begitu, kesannya kepada Iran adalah sebaliknya. Tahap inflasi melonjak naik dan jurang antara yang kaya dan miskin dan juga antara penduduk bandar dan luar bandar semakin besar. Lebih memburukkan keadaan, kerajaan Iran menghabiskan ratusan juta bagi membiayai pekerja-pekerja pakar asing dan juga membeli pelengkapan tentera daripada Amerika yang ternyata tidak berguna ketika itu dan ianya satu pembaziran.

Pada tahun 1976, jentera kerajaan Shah menaikkan kemarahan penduduk Islam Iran kerana mengubah kalender Iran daripada kalender Hijrah kepada kalender solar Iran yang pernah digunakan ketika zaman Cyrus Agung. Pada tahun yang sama, Shah mengumumkan rancangan penjimatan ekonomi yang bertujuan untuk mengurangkan tahap inflasi. Kesannya, ramai rakyat Iran yang hilang pekerjaan dan ramai yang jatuh miskin dan bermigrasi ke kota besar meningkat.

Jimmy Carter, presiden Amerika pada tahun 1977 mengutuskan sebuah peringatan kepada Shah Mohammad mengenai betapa mustahaknya hak kebebasan dan kebebasan berpolitik. Shah kemudiannya membalas peringatan ini dengan mengampuni 357 tahanan politik pada bulan Februari tahun yang sama. Beliau juga turut membenarkan Persatuan Palang Merah untuk melawat penjara tahanan politik. Ini merupakan permulaan liberalisasi oleh Shah. Pihak liberal kemudiannya mengeluarkan seutus surat mengecam rejim beliau.

Tahun yang sama juga turut menyaksikan kematian seorang ahli politik yang penting iaitu Ali Shariati. Beliau adalah seorang pemimpin Islam moden dan kematian beliau didakwa didalangi SAVAK. Pada Oktober pula, putra Khomeini, Mostafa meninggal dunia. Walaupun punca kematian adalah serangan sakit jantung, tetapi terdapat desas desus mengatakan kematian beliau juga merupakan antara rancangan SAVAK.

1978: Tercetusnya Revolusi

Bangkangan terhadap pemerintahan Shah dimulai dengan kumpulan-kumpulan liberal daripada kelas pertengahan dan berpusat di kawasan-kawasan bandar. Golongan ini lebih sekular dan mempraktikan Islam secara sederhana. Namun begitu tujuan protes mereka hanyalah supaya kerajaan Shah Mohammad berpegang kepada Perlembagaan Iran 1906, dan bukannya kepada undang-undang Sharia. Mehdi Bazargan adalah antara pemimpin yang paling aktif dalam bangkangan ini. Beliau memimpin Gerakan Iran Merdeka yang berkait rapat dengan bekas perdana menteri Iran, Mohammed Mossadegh. Gerakan ini mendapat sokongan padu dari dalam dan luar Iran.

Ulama-ulama Iran pula terbahagi kepada dua kumpulan iaitu ulama-ulama yang menyokong kumpulan sekular liberal dan kumpulan kedua menyokong gerakan komunis Marxists. Khomeini pula yang ketika itu sedang didalam buangan berkerja keras untuk menyatukan golongan ulama, golongan sekular, liberal dan pembangkang dan meletakkan mereka semua dibawah pimpinan beliau.

Januari 1978: Demonstrasi Utama Pertama

Demonstrasi pertama menentang Shah dimulakan dengan kumpulan mahasiswa Islam pada Januari 1978. Kerajaan Shah mengutuskan pihak tentera untuk menguraikan demonstrasi dan keputusan ini menyebabkan beberapa mahasiswa-mahasiswa terbunuh

Mengikut tradisi Shia, sebuah majlis peringatan dilakukan setelah 40 hari kejadian itu berlaku dan ianya dilakukan di masjid-masjid di seluruh Iran. Pada 18 Februari, beberapa demonstrasi dilakukan di seluruh Iran bagi memberi penghormatan kepada korban mahasiswa-mahasiswa itu dan juga untuk memprotes kekejaman Shah. Akhirnya, pergeseran tercetus di Tabriz dan ratusan penunjuk perasaan terbunuh. Perkara yang sama turut terjadi pada 29 Mac dan kali ini di seluruh Iran. Kebanyakan bangunan-bangunan dan pejabat-pejabat milik rejim Shah dirobohkan dan dimusnahkan, dan sekali lagi, ratusan nyawa terkorban.

Mei 1978: Ayatollah Shariatmadari Menyertai Kumpulan Pembangkang

Pada bulan Mei, beberapa pegawai kerajaan menceroboh masuk rumah Ayatollah Kazem Shariatmadari, salah seorang ulama Iran yang cukup berpengaruh. Pegawai kerajaan itu menembak mati salah seorang daripada pengikut Ayatollah Shariatmadari. Sebagai tindak balas, beliau menyertai barisan pembangkang menentang Shah.

Dalam masa yang sama, Shah Mohammad cuba menenangkan kumpulan pembangkang dengan merendahkan kadar inflasi, memohon maaf kepada para ulama dan memecat ketua SAVAK juga menjanjikan pilihan raya umum bebas pada bulan Jun. Tetapi rancangan inflasi yang mengurangkan belanja kerajaan menyebabkan ramai perkerja-pekerja awam terutamanya daripada golongan muda dan kurang mahir dipecat. Pada musim panas 1978, warga buruh ini berarak di jalanan memprotes polisi ini. Pada bulan November berikutnya, pekerja-pekerja lain pula melancarkan mogok dan ini menyebabkan ekonomi iran ketika itu lumpuh.

Shah Meminta Bantuan Amerika

Perbincangan Shah Iran dengan Alfred Atherton, William Sullivan, Cyrus Vance, President Carter, dan Zbigniew Brzezinski, 1977

Shah Mohammad Reza Pahlavi kini berhadapan dengan situasi revolusi. Lantas, beliau meminta bantuan daripada Amerika untuk menyokong beliau. Amerika pula ketika ini memerlukan Iran kerana ia terletak di Teluk Parsi dan kaya dengan sumber minyak. Malahan, Iran bersempadan dengan Kesatuan Soviet menjadikannya sebuah lokasi yang strategik bagi Amerika kerana ia dapat menolong Amerika dalam Perang Dingin. Namun begitu, imej Shah Iran telah tercemar dengan polisi kerajaan beliau yang mencabuli hak asasi manusia. Duta Amerika ke Iran, William H. Sullivan, menyatakan bahawa Penasihat Keselamatan Amerika, Zbigniew Brzezinski "telah berulang kali menyakinkan Shah Mohammad Reza yang Amerika akan membantu beliau". Presiden Amerika ketika itu, Jimmy Carter didakwa telah gagal mengotakan janji Amerika ini. Pada masa yang sama, beberapa pegawai tinggi Amerika menyuarakan cadangan bahawa kepimpinan Iran haruslah digantikan bagi meredakan revolusi dan Shah Mohammad Reza haruslah turun takhtah. Tetapi rencana ini terbantut setelah Ayatollah Khomeini mengambil alih kuasa memerintah Iran

Ogos 1978: Serangan pembakaran abadan

Ketika keadaan Iran di dalam kekabutan, sebuah panggung wayang di Abadan, Panggung Wayang Cinema Rex Fire, dibakar menyebabkan 400 nyawa terkorban. Para revolusi menyalahkan SAVAK dan mendakwa badan itu bertanggungjawab terhadap kejadian ini. Mereka mendakwa kebakaran ini sengaja dilakukan untuk menjerat kumpulan revolusi Islam. Keesokannya, seramai 10,000 saudara mara mangsa korban berkumpul di majlis pengebumian sambil melaungkan bantahan mereka terhadap Shah Mohammad.

1979: Shah melarikan diri an kejayaan revolusi

Pada 16 Januari, 1979, Shah Mohammad dan permaisuri beliau meninggalkan Iran atas nasihat perdana menteri beliau, Dr. Shapour Bakhtiar dan beberapa jam kemudian, semua simbol Shah Mohammad dirobohkan oleh penduduk awam. Dr. Shapour kemudiannya membubarkan SAVAK, membebaskan tahanan politik, menjanjikan pilihan raya umum bebas dan membenarkan demonstrasi awam semula. Beberapa hari selepas itu, beliau membenarkan Ayatollah untuk pulang ke Iran. Beliau turut meminta agar kumpulan revolusi lain untuk memelihara semula perlembagaan Iran.

Februari 1979: Khomeini pulang ke Tehran

Pada 1 Februari, 1979, Khomeini pulang semula ke Iran. Kepulangan beliau disambut dengan meriahnya oleh ribuan rakyat Iran. Namun begitu, Khomeini tidak bersetuju dengan kerajaan Shapour menyebabkan berlakunya konflik bersenjata antara penyokong Khomeini (termasuklah beberapa bahagian tentera Iran) dengan penyokong Shapour. Penyokong revolusi-Khomeini dan tentera yang berpihak kepada revolusi mula menguasai balai polis, markas tentera dan mengedarkan senjata kepada penduduk awam. Pada 11 Februari, kerajaan Shapour kalah dalam konflik ini apabila Majlis Agung Tentera mengumumkan bahawa ianya berpendirian neutral untuk mengelakkan berlakunya pertumpahan darah.

Khomeini mengambil alih kuasa

Ayatollah Khomeini adalah pemimpin dalam gerakan menentang Shah Mohammad Reza.Kini bermulalah fasa kedua revolusi Iran yang turut dikenali sebagai Revolusi Islam. Ketika zaman pemerintahan Shah, kesemua kumpulan revolusi yang terdiri daripada golongan agama, liberal, sekular, Marxist dan Komunis bergabung untuk menentang Shah Mohammad. Tetapi kini, setelah beliau ditumpaskan, ikatan ini dibubarkan.

Setiap kumpulan revolusi ini bersaing untuk pengaruh dan juga mempunyai intepretasi yang berbeza mengenai negara Iran yang dibentuk. Ketika tahun pertama revolusi, terdapat dua kuasa yang memerintah Iran iaitu kerajaan rasmi Iran dan kerajaan revolusi. Mehdi Bazargan, Perdana Menteri Iran yang dilantik oleh Khomeini (dari kumpulan revolusi) memperkenalkan sebuah kerajaan demokratik baru. Pada masa yang sama, dalam kerajaan Iran, Khomeini menubuhkan Majlis Revolusi yang ahlinya terdiri daripada para ulama yang menyokong beliau. Majlis ini semakin lama menjadi semakin berkuasa dalam kerajaan Iran sehinggakan kesemua keputusan kerajaan Iran ditentukan oleh badan ini.

Pada bulan Jun, Gerakan Kebebasan membentuk sebuah draf perlembagaan yang menjadikan Iran sebuah Republik Islam. Draf ini turut merangkumi Majlis Pelindung yang mempunyai kuasa veto mengenai undang-undang bukan Islam. Walaupun begitu, Ayatollah Khomeini menolak draf ini dengan alasan bahawa kerajaan baru ini haruslah berdasarkan "100% undang-undang Islam".

Oleh itu, sebuah perlembagaan baru dibentuk oleh Majlis Pakar yang membentuk jawatan Pemimpin Agung untuk Khomeini. Kuasa Pemimpin Agung mengikut perlembagaan ini meliputi kuasa ketenteraan dan keselamatan, dan juga kuasa veto untuk calon politik. Turut dibentuk ialah jawatan Presiden. Kuasa presiden pula kurang meluas berbanding dengan Pemimpin Agung dan beliau akan dilantik melalui pilihan raya umum yang diadakan setiap empat tahun sekali. Perdana Menteri Mehdi tidak bersetuju dengan perlembagaan baru ini kerana kekuasaan presiden yang terbatas, lalu beliau meletak jawatan.

Kesan-kesan revolusi Iran

Revolusi Iran telah mberikan jalan dan harapan kepada kaum muslimin dalam memberikan kemaslahatan di dalam kehidupan mereka. Para wanita muslim di Inggeris dan Prancis peri ke sekolah mereka dengan mengenakan hijab Islam ( Sayyid Ahmad Khomeini, 1997, 140 )

Selain itu, revolusi iran juga telah telah mengukuhkan keteguhan sikap bangsa Iran, yang membuatkan kaum Muslimin bangga dalam menghadapi kekuatan internasional. ( Sayyid Ahmad Khomeini, 1997, 159 )



[1] SAVAK adalah organisasi keamanan dan intelejen Iran yang didirikan secara rasmi oleh Muhammad Reza Syah pada tahun 1957 M. Organisasi ini memiliki tugas untuk menumpas oposisi pemerintah dan merintangi jihad Islam. Organisasi ini juga memliki hubungan erat dan kerjasama dengan CIA (dinaspara intelejen Amerika ) dan Mossad (dinas intelejen Israel ). Mereka telah menyiksa para tahanan politik dengan mjumlah yang sangat banyak dan sangat kejam. Ini sebagaimana yang diungkapkan Sekjen Organisasi Amnesti Internasional pada tahun 1957 bahawa tak ada Negara di dunia yang memiliki catatan hitam dalam sejarah pelanggaran hak asasi manusia melebihi Iran.

Tughlaq

Kerajaan Tughlaq ( 1320-1417 )


Selepas mencapai kemenangan dalam peperangan di pinggir kota Delhi pada penghujung tahun 1320, Ghazi Malik telah dipilih secara rasmi oleh para pengikutnya sebagai pemerintah Kesultanan Delhi dengan memakai gelaran Ghiyathuddin Tughlaq Shah. Beliau berdarah campuran antara Turki dan India itu mula menceburkan diri dalam arena politik sejak kecil lagi iaitu dengan mengikut ayahnya yang menjadi hamba kepada sultan Ghayathuddin Balban. Ini bermakna pengalaman Tughlaq dalam sector politik dan pentadbiran tidak dapat dipertikaikan sama sekali. Mengikut Prof Singh, Tughlaq telah berjaya mengalahkan tentera Mongol yang menceroboh wilayah jajahan takluknya di Lahore sebanyak 29 kali. Hakikat ini menyebabkan tentera Mongol begitu gerund dengan beliau, dan tidak berani untuk mengganggu kerajaan Delhi dalam masa pemerintahannya.


Langkah pertama yang dilakukan oleh sultan Ghiyathuddin Tughlaq di Delhi ialah mengembalikan keamanan dalam negara yang terjejas teruk akibat rusuhan sebelumnya. Rusuhan bukan sahaja berlaku di sekitar Delhi, malah merebak ke seluruh wilayah Islam di India. Raja-raja Hindu Rajputs juga telah mengambil peluang daripada kegawatan politik di Delhi untuk mengisytiharkan kemerdekaan bagi wilayah tadbiran mereka dan menghentikan pembayaran ufti kepada kerajaan Islam. Ini telah menyebabkan perbendaharaan negara menjadi gersang. Tambahan pula Khusraw Khan sebelumnya telah menggunakan banyak wang negara untuk memberi rasuah kepada para pegawai kerajaan agar menyokong beliau. Oleh sebab itu, Tughlaq telah mengambil tindakan tegas dengan mengarahkan semua golongan yang terlibat menerima rasuah daripada Khusraw Khan itu supaya menyerahkannya kembali kepada perbendaharaan negara jika mereka tidak mahu dihukum. Peraturan ini walaubagaimanapun telah mendapat tentangan daripada sesetengah golongan yang menganggap pemberian itu bukannya rasuah.


Dalam menangani isu pemberontakan golongan Hindu Rajputs terutama di wilayah Deccan, sultan Tughlaq telah menghantar anaknya Jawna Khan bagi menghadapi mereka. Mengikut Qureshi, sebaik sahaja tiba di Deccan Jawna Khan telah dikejutkan dengan berita kemangkatan ayahnya yang menyebabkan beliau bergegas pulang ke Delhi. Setibanya di Delhi ternyata ayahnya masih hidup dan berita tersebut hanya khabar angina yang sengaja disebarkan oleh golongan Hindu bagi menggagalkan perjuangan Jawna. Dengan itu, Jawna telah berangkat sekali lagi (723/1323) ke Deccan bagi menghadapi golongan penderhaka Hindu tersebut. Dalam ekspedisi kedua ini Jawna telah berjaya menawan kembali wilayah tersebut dengan mudah.


Sementara itu, sultan Tughlaq sendiri telah berangkat ke Bengal bagi membantu amir Nasiruddin yang sedang menghadapi tekanan daripada saudara-saudaranya yang ingin merebut jawatan gabenor daripadanya. Tughlaq telah berjaya menamatkan sengketa tersebut dan mengekalkan Nasiruddin sebagai gabenor yang sah di situ. Setelah selesai urusan di Bengal, Sultan Tughlaq telah berangkat pulang ke Delhi dengan membawa ghanimah yang banyak hasil rampasan di Mithila iaitu wilayah jajahan takluk raja Hindu. Setibanya di Afghanpur iaitu salah satu kawasan penempatan komuniti Afghan di luar kota Delhi, stu upacara sambutan besar-besaran telah dianjurkan oleh putra Jawna Khan bagi menyambut kepulangan ayahnya. Ketika majlis sedang berjalan, tiba-tiba pentas khas yang diduduki oleh sultan Tughlaq telah runtuh mengakibatkan kecederaan parah kepada sultan hingga membawa kemangkatannya. Dengan itu, Jawna Khan telah diisytiharkan sebagai sultan pada bulan Februari 1325 dengan memakai gelaran Sultan Muhammad Shah bin Ghiyathuddin Tughlaq Shah. Walaubagaimanapun, kebanyakan ahli sejarah lebih selesa menyebutnya sebagai Muhammad Tughlaq sahaja.


Dari segi personality, Muhammad Tughlaq diiktiraf sebagai satu-satunya pemimpin dalam dinasti Tughlaq yang memiliki pelbagai kemahiran, rohani dan jasmani. Kemahiran jasmani menyebabkan beliau sentiasa menang dalam peperangan dan amat digeruni oleh musuh-musuhnya. Sementara kemahiran rohani membuatkan beliau disegani oleh teman-temannya. Beliau sentiasa menjaga akhlaknya dan tidak pernah lalai dalam mengerjakan ibadah serta tidak mencampuri sebarang majlis yang boleh membawa kepada kelalaian. Beliau amat prihatin terhadap urusan negara dan kebajikan rakyat. Oleh sebab itu, ramai pegawai kerajaan yang terpaksa menghadapi hukuman kerana kecuaian mereka dalam menjalankan tugas. Selain daripada itu, sultan juga dikagumi kerana kemampuannya menggarab berbagai ilmu pengetahuan, agama, sains dan juga bahasa. Kehebatan ini menyebabkan Smith menganggapnya sebagai one of the wonders of the age.


Sebagai pemimpin yang memerintah agak lama iaitu kira-kira 26 tahun (1325-1351), Muhammad Tughlaq sempat melakukan berbagai perubahan antaranya penguatkuasaan system percukaian, mengeluarkan matawang tembaga bagi menggantikan wang emas dan perak, melebarkan wilayah Kesultanan Delhi ke luar daripada India, dan mengubah pusat pentadbiran negara ke kawasan tengah India. Tindakan ini dilihat oleh sesetengah sejarawan sebagai langkah tidak bijak kerana ia menyebabkan inflasi dan kejatuhan ekonomi negara. Malah kenaikan kadar cukai juga ada kaitannya dengan kegagalan projek tersebut kerana sultan tiada pilihan untuk menampung perbelanjaan negara selain daripada menaikkan kadar cukai. Dan krisis politik lantaran rakyat tidak rela berada dalam kesusahan.


Sebenarnya apa yang dilakukan oleh sultan itu ada hubungannya dengan kepentingan politik. Misalnya, perpindahan pusat pemerintahan daripada Delhi ke Devagiri jelas menunjukkan suatu perancangan politik yang bijak terutama bagi membanteras golongan penderhaka Hindu Rajputs yang tidak jemu menimbulkan segala macam tentangan terhadap pemerintah Islam di Delhi. Golongan Hindu Rajputs ini berani bertindak demikian kerana mereka tahu tidak mudah bagi pemerintah Delhi untuk menghadapi mereka kerana kawasan mereka terletak jauh di bahagian tengah India yang dibanjiri pula oleh kawasan berbukit-bukau. Oleh itu, sepanjang sejarah pemerintahan Islam di India, kita dapati kawasan Deccan tidak pernah sunyi dengan pemberontakan yang ditimbulkan oleh raja-raja Hindu. Jadi dengan memindahkan pusat pentadbiran ke kawasan tersebut, sudah tentu ianya dapat mengurangkan kegiatan anti kerajaan yang kerap berlaku di situ, kalaupun tidak menghapuskannya sama sekali. Bukti yang paling ketara bahawa perpindahan itu lebih bermotifkan politik ialah sultan tidak membawa golongan korporat bersamanya ke Devagiri, tetapi membawa golongan terokrat dan juga tentera, malah mengambil anggota baru tentera lebih ramai untuk ditempatkan di pusat pentadbiran yang baru itu.


Sehubungan dengan itu, Prof. Qureshi menjelaskan bahawa pembinaan pusat pentadbiran baru yang dikenali dengan nama “Dawlatabad” itu bukanlah bertujuan untuk menyaingi kota Delhi seperti yang didakwa oleh sebahagian masyarakat Hindu. Namun perpindahan itu amat merunsingkan mereka kerana sultan lebih mengutamakan masyarakat Muslim supaya berpindah ke Dawlatabad dan tidak menggalakkan orang-orang Hindu berpindah ke situ. Tujuan sultan berbuat demikian mungkin untuk meningkatkan jumlah penduduk Islam di kawasan yang dimonopoli oleh masyarakat Hindu itu. Dan apabila wujud keseimbangan antara penduduk yang berbeza agama akan wujudlah keharmonian kerana tiada lagi golongan yang merasa ego dengan kemajoritiannya. Sementara itu, tindakan sultan menaikkan cukai pertanian juga amat tidak disenangi oleh golongan Hindu kerana merekalah yang benyak menguasai tanah-tanah pertanian sedangkan kebanyakan umat islam terdiri daripada golongan mendatang yang tidak benyak terlibat dengan sector pertanian, malah tidak begitu mahir dengan aktiviti pertanian. Kenaikan cukai yang berlebihan, walaubagaimanapun, telah memberi implikasi yang lebih buruk terhadap ekonomi negara kerana kebanyakan petani telah bertindak meninggalkan ladang-ladang mereka dan menumpukan perhatian dalam bidang kerjaya yang lain.

Dekad pertama pemerintahan Muhammad Tughlaq menunjukkan bahawa beliau mendapat sokongan daripada masyarakat Islam di India, dan ini telah memberi peluang kepada beliau untuk melaksanakan segala projek pembangunan walaupun mendapat tentangan daripada masyarakat Hindu. Akan tetapi, dalam dekad kedua pemerintahannya, suara-suara tidak puas hati di kalangan umat Islam terhadap polisi pentadbiran sultan Muhammad telah mula kedengaran. Dalam tahun 1335M satu pemberontakan telah wujud di Madura (Ma’bar) dimana amir Syed Jalaluddin Ahsan telah mengisytiharkan wilayahnya merdeka daripada pemerintahan pusat. Tindakan ini, walaupun telah memberi kuasa politik yang mutlak kepada pemerintahnya, namun ianya amat lemah untuk menghadapi serangan dari luar. Ini terbukti dengan kehancuran negara tersebut di tangan pemerintah Vijayanagar tiga tahun kemudian.


Dalam tahun 1337 pemberontakan yang serupa telah berlaku di Bengal di mana gabenor Qadir Khan telah dibunuh oleh pegawainya yang dikenali sebagai Fakhruddin dan mengisytiharkan dirinya sebagai pemerintah Bengal. Lebih jauh dari itu, Fakhruddin telah bertindak memutuskan hubungan dengan kerajaan pusat dan menjadikan Bengal sebagai wilayah yang merdeka. Sultan yang sibuk dengan projek jihadnya di sempadan India tidak dapat memberikan apa-apa respon yang sesuai untuk mengatasi masalah perpecahan di peringkat wilayah. Keadaan ini telah memberi peluang kepada Fakhruddin untuk menawan beberapa wilayah kecil di sekitar Bengal dan memasukkan di bawah pentadbirannya.

diambil dari buku tamadun Islam di India

Pengenalan perang salib

Perang salib adalah satu daripada gambaran sebenar hubungan di antara Islam di Timur dan Kristian di Barat. Peperangan ini juga digelar dengan peperangan The Crusade di dalam bahasa Inggeris. Crusade ialah nama yang diberi kepada pasukan tentera Kristian yang telah mengambil bahagian di dalam peperangan ini bagi merampas kembali Al-Aqsa iaitu Baitul Maqdis yang telah dibuka oleh bala tentera Islam di bawah pimpinan Amru bin Al-As di zaman pemerintahan Saidina Umar bin Al-Khattab. Tentera-tentera Kristian Eropah tersebut telah memakai simbol cross ataupun palang. Maka dengan ini peperangan tersebut telah digelar ‘The Crusade’ Peperangan ini telah berlangsung sebanyak lapan kali. Ianya telah dimulai dengan satu perhimpunan umum yang diadakan di Clermont pada 26 November 1095. Di dalam perhimpunan umum ini, Pope Urban II telah merayu agar seluruh orang kristian Eropah bangkit menggunakan senjata bagi merampas semula Baitul Maqdis. Rentetan daripada pidato inilah maka meletusnya Perang Salib yang memakan masa selama dua kurun iaitu: Perang Salib yang pertama pada tahun 1096 – 1099M, Perang Salib yang kedua pada tahun 1147 – 1149M, Perang salib yang ketiga pada tahun 1189 – 1192M, Perang Salib yang keempat pada tahun 1203 – 1204M, Perang salib yang kelima pada tahun 1216 – 1221M, Perang salib yang keenam pada tahun 1228 – 1229M, Perang Salib yang ketujuh pada tahun 1248 – 1251M, Perang Salib yang kelapan pada tahun 1270 – 1273M.