sun rise

Islam is the way of my Life

Sunday, October 9, 2011

Kematian itu pasti




Kematian itu pasti



Setiap yang bernyawa, manusia, jin, haiwan, malaikat, dan seluruh alam akan menemui kemusnahan, anda tidak mampu mengubahnya.
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yangterpedaya. (185)

Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: Banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu jika kamu bersabar dan bertakwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya). (186)

Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu): Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya. Kemudian mereka membuang (perjanjian setia) itu ke belakang mereka, serta mereka menukarnyadengan mengambil faedah dunia yang sedikit. Maka amatlah buruknya apa yang mereka dapati dari penukaran (Kalamullah dan janjiNya) itu. (187)

Jangan sekali-kali engkau menyangka (wahai Muhammad, bahawa) orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka telah lakukan dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan, jangan sekali-kali engkau menyangka mereka akan terselamat dari seksa dan mereka pula akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya. (188)

Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintah langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (189)
كُلُّ نَفۡسٍ۬ ذَآٮِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِ‌ۗ
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 185)

www.iluvislam.com

Saturday, October 1, 2011

Bernikah di usia muda




BERNIKAH DI USIA MUDA





Segala puji bagi Allah, Tuhan Semesta Alam dan satu-satunya layak untuk disembah. Selawat dan salam kepada Nabi kita Muhammad, keluarga, para sahabat dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik hingga hari kiamat.
Menangguh-nangguh untuk bernikah akan menyebabkan kerugian.
Berikut adalah penjelasan dari ulama besar Saudi Arabia, Syeikh Dr. Sholih bin Fauzan bin ‘Abdillah Al Fauzan yang dipetik dari Web Sahab.net untuk dijadikan panduan kepada kita semua.





Faedah pertama: Hati semakin tenang dan sejuk dengan adanya isteri dan anak
Di antara faedah bernikah awal adalah lebih mudah menghasilkan anak yang dapat menyejukkan jiwa. Allah Ta’ala berfirman,
“Dan orang orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugrahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa. ” (Al Furqan: 74)
Isteri dan anak adalah penyejuk hati. Oleh kerana itu, Allah SWT menjanjikan dan mengabarkan bahawa bernikah dapat membuat jiwa kita semakin tenteram. Dengan bernikah, seorang pemuda akan merasakan nikmatnya ketenangan.
Demikian pula dengan anak. Allah pun mengkhabarkan bahawa anak adalah separuh dari perhiasan dunia sebagaimana firman-Nya,
“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan. ” (Al Kahfi: 46)
Anak adalah perhiasan kehidupan dunia. Setiap manusia pasti menginginkan perhiasan yang menyejukkan pandangan. Manusia begitu suka mencari harta dan manusia juga berasa senang jika memperolehi anak.
Sedangkan untuk kehidupan akhirat, anak yang soleh dan solehah akan terus memberikan manfaat kepada kedua orang tuanya, sebagaimana Nabi SAW bersabda,
“Jika manusia itu mati, maka amalannya akan terputus kecuali tiga perkara:
[1] ilmu yang bermanfaat,
[2] sedekah jariyah,
[3] anak sholih yang selalu mendoakannya.”





Hal ini menunjukkan bahawa anak memberikan faedah yang amat besar dalam kehidupan dunia dan juga setelah kematian kita.
Faedah kedua: Bernikah akan meningkatkan bilangan umat Islam.
Bersegera menikah juga lebih mudah memperolehi anak, sehingga umat Islam pun akan bertambah banyak. Oleh kerana itu, setiap manusia dituntut untuk bernikah demi membentuk masyarakat Islami. Rasulullah SAW bersabda :
“Menikahlah umatku. Kerana aku begitu bangga dengan banyaknya umatku pada hari kiamat.”
Ini bermakna menyegerakan untuk bernikah memiliki manfaat dan kesan yang luar biasaWalaubagaimanapun, beberapa persoalan sering timbul jika berkahwin di usia muda.
Ada yang mengatakan bahawa nikah di usia muda akan membuat lalai dari mendapatkan ilmu dan menyulitkan dalam belajar. Ketahuilah, rintangan seperti ini tidak benar sama sekali. bahkan sebaliknya. Kerana bersegera menikah memiliki keistimewaan iaitu lebih mudah merasa ketenangan jiwa. Ketenangan ini akan menjadi penyejuk jiwa dan dengan adanya isteri dan anak, ianya akan dapat lebih membantu seseorang untuk mendapatkan ilmu. Jika jiwa dan pemikirannya telah tenang oleh kerana isteri dan anak berada di sampingnya, maka ia akan semakin mudah untuk mendapatkan ilmu.
Jika seseorang yang belum bernikah, maka pada hakikatnya dirinya terus terhalang untuk mendapatkan ilmu. Fikiran dan jiwanya masih kurang merasakan ketenangan, maka ia pun sukar mendapatkan ilmu. Namun jika ia bersegera menikah, lalu jiwanya tenang, maka ini akan lebih akan menolongnya. Inilah yang memudahkan seseorang dalam belajar dan tidak seperti yang dinyatakan oleh segelintir orang.




Rintangan kedua:
Ada yang mengatakan bahawa nikah di usia muda dapat membebani seorang pemuda dalam mencari nafkah untuk anak dan isterinya. Rintangan ini pun sebenarnya tidak boleh diterima. Pernikahan akan sentiasa membawa keberkatan (bertambahnya kebaikan) dan akan membawa kepada kebaikan. Bernikah bererti melakukan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.
Seorang pemuda yang bernikah bererti telah menjalankan perintah Rasulullah SAW. Dia juga mencari janji kebaikan dan membenarkan niatnya, maka inilah yang sebab datangnya kebaikan untuknya. Ingatlah, semua rezeki itu di tangan Allah sebagaimana firman-Nya,
“ Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezekinya.” (Hud: 6)
Jika engkau menjalani nikah, maka Allah akan memudahkan rezeki untuk dirimu dan anak-anakmu. Allah Ta’ala berfirman,
“Kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka.” (Al An’am: 151)
Dengan ini, dapatlah kita tahu bahawa bernikah sebenarnya tidaklah membebani seorang pemuda sebagaimana anggapan sebelum ini bahawa bernikah dapat membebani seorang pemuda di luar kemampuannya. Ini tidak benar. Kerana dengan menikah, kita akan semakin mudah unutk mendapatkan kebaikan dan keberkatan hidup. Menikah adalah ketetapan Allah untuk manusia yang seharusnya mereka jalani. Ia bukan semata-mata khayalan. Menikah juga merupakan salah satu pintu yang mendatangkan kebaikan bagi siapa yang benar niatnya.
Wallahualam…
www.panduanislam.com

Friday, September 30, 2011

Belajar erti redho dan sabar






BELAJAR ERTI REDHO DAN SABAR


Rasanya macam sukar nak menulis kembali. Mungkin banyak peristiwa duka yang berlaku sepanjang Akhir bulan Mei dan Awal bulan Jun dan ini adalah hari-hari yang terlalu sukar untuk saya. Hari-hari yang penuh dengan ujian dan dugaan.Bayangkan sepanjang hari – hari yang saya lalui terlalui sedih untuk dikenang. Ibaratnya dugaan saya selama ini adalah saya sedang membina sebuah istana pasir yang cukup cantik di tepi pantai. Saya jaga istana pasir itu, saya bina ia mengikut kehendak alam, dengan penuh berhati-hati agar tidak merosakkan mana-mana bahagian yang telah lengkap. Saya mengambil masa berjam-jam malah berhari-hari membina istana itu tanpa tidak pernah menyangka ia akan musnah akhirnya kerana ia dibina di tepi pantai. Fenomena itu sememangnya saya tahu. Tapi kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Ombak hidup mengikut aturan sang Pencipta. Akhirnya istana pasir yang saya bina musnah jua dipukul ombak besar. Saya ingin menangis kerana istana pasir itu telah musnah kerana penat lelah saya membina dan menjaganya selama ini. Masakan usaha berhari-hari saya musnah dalam masa tidak lebih seminit. Sekelip mata. Begitulah ibarat peristiwa yang saya lalui.

Ujian itulah kehidupan

Allah ingin menguji saya lagi. Saya demam dan selsema. Bukan sehari dua malah hamper 12 hari dan hari ini baru saya rasa demam saya berkurangan. Ditambah pula dalam tempoh demam itu saya kena buat ujian memandu untuk dapatkan lessen kereta. Aduhai, terasa amat perit hari yang saya lalui itu. (Bukan mengeluh, tapi ekspresi rasa saya). Mungkin jua saya terlampau terkejut. Kata nenek saya ‘sabarlah, Allah baru mencubit sedikit sahaja paha kita, kita telah mengeluh panjang dan bising-bising.’ Kata-kata nenek saya betul. Tapi saya bukan mengeluh bukan tak redho, Cuma saya rasa ingin mengadu sangat-sangat kepada Allah. Kata Abusaif, kehidupan kita ini tidak dapat lari dari ujian-ujian Allah kerana ujian itulah sebenarnya kehidupan kita. Ya saya akui. Redho itu perit, Tapi Imbalannya Manis… Beberapa hari ini saya cuba mencari kekuatan diri saya untuk menerima apa yang berlaku dalam hidup saya. Saya cuba belajar erti redho. Betul, redho tidak semudah yang kita sebut-sebutkan. Redho itu perit, tapi imbalannya manis. Begitulah pesan kakak saya. Hari ini tarbiyyah tak langsung yang berguna untuk saya daripada Allah adalah saya belajar erti redho. Kata orang sabar itu adalah yang paling mulia, tapi redho itu paling tinggi selain bersyukur menerima ujian kerana antar sabar dan redho, redho itu kita perlu ikhlas menerima setiap ketentuan. Bayangkan jika anda menerima ujian yang terlalu berat, kita akan tahu apa bezanya redho dan sabar. Ia memang berbeza.

Dulu seorang sahabat saya bertanya, bagaimana mahu menjadi seorang yang redho? Waktu itu saya hanya diam tanpa memberi apa-apa respon kerana sememangnya saya tidak tahu. Hari ini, setelah saya melalui episode yang sukar dalam hidup saya, saya punyai jawapannya.

Pertama jangan terlalu mengikut perasaan dan sentiasa berfikiran positif, maka dengannya kita akan ikhlas dengan ketentuan Allah.

Kedua yakinlah bahawa apa yang diambil Allah, lalu kita bersabar, maka tidaklah Allah memberikan ganti melainkan apa yang diberi ganti itu lebih baik daripada apa yang diambil. Di sinilah perlunya sabar. Alhamdulillah hari ini saya belajar.

Berkata Umar Abdul Aziz ‘Allah tidak memberi kenikmatan kepada seseorang hambaNya dengan suatu kenikmatan kemudian Dia mengambil kenikmatan itu daripadanya. Lalu digantikanNya dengan kesabaran, melainkan apa yang dijadikan ganti itu lebih baik daripada apa yang diambilnya.’

Kembalilah kepada Allah

Sememangnya, kita tidak dapat lari daripada ujian Allah. Kerana dengan ujian itulah iman akan teruji. Saya telah menemui ramai orang yang diuji hamper sama seperti saya. Andai diikutkan nafsu dan emosi, pasti saya tidak ubah seperti orang-orang yang mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan masalah seperti mengurung diri, merayau-rayau dan sebagainya. Nauzubillah. Alhamdulillah episod duka saya lalui itu dengan penuh terarah. Saya masih ada tempat mengadu kepada Allah sekalipun pada masa yang sama ada mulut-mulut manusia yang tidak lepas daripada membicarakan tentang manusia-manusia lain.

‘Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata ‘kami beriman’ sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu ujian) ‘– (Surah al-Ankabuut ;2)

Apa yang penting, kita kembalilah kepada Allah. Saya ingin ulangi kata-kata nenek saya, Allah baru sahaja mencvubit kita sedikit jika hendak dibanduingkan dengan nikmat kurniaanNya yang melangit luas. Kita jangan cepat melatah dan merasa cemas dengan ujian yang menimpa. Disinilah kebergantungan kita kepada Allah sangat diperlukan.

Al-Mutanabbi berkata, ‘Kecemasan hanya akan mengakibatkan tubuh menjadi kurus dan rambut akan beruban dan menjadi amat tua.’ Jangan membiarkan ujian itu menjadikan kita cepat tua =).

Kata William Mark Gaugil dalam pidato ilmiahnya di depan Persatuan Doktor Gigi Amerika, ‘Perasaan tidak bahagia seperti takut dan cemas sangat mungkin memberi kesan kepada penyebaran kalisium di dalam tubuh dan selanjutnya akan mengakibatkan kerosakan pada gigi’

Patutlah sepanjang saya sedih, saya selalu sakit gigi. Mungkin ini kesan sedih dari sudut kesihatan. Apapun belajarlah untuk redho kerana apabila kita redho, kita sememangnya kembali kepada Allah dan insyaAllah hati kita akan bahagia.

Wasiat Luqman Alhakim

‘Dan selalulah berharap kepada Allah tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai Allah. Takutlah kepada Allah dengan sebenar-benar takut (taqwa), tentu engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat Allah’

Binalah Istana untuk didiami

Syukur, terlalu banyak pelajaran saya Allah berikan untuk saya daripada ujian ini.

Pertama seperti wasiat Luqman al-Hakim lagi kepada anaknya “Wahai anakku, janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan sahaja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu memberi kesengsaraan”

Keduanya, saya tidak mahu membina istana pasir lagi. Saya ingin membina istana untuk saya diami. Kali ini, saya perlu berhati-hati.

Ketiga, biarlah apa yang diperlakukan orang terhadap kita, selagi keyakinan kita pada Allah selagi itulah hidup kita bahagia.

Akhirnya saya belajar erti sabar dan redho. Amin.



Wednesday, September 14, 2011

Kuatkan hati...

Kuatkan hati




Ya Rabbi..ketika tengah buntu dan keliru..terasa syahdu
sungguh mendengar ayat-ayat al-quran ini..Moga diri ini tabah
menghadapi dugaanMu..Ya Khaliq, Mudahkan urusan hambaMu ini..

Saturday, August 6, 2011

Solat sunat lepas subuh, masih keliru

Solat sunat lepas subuh, masih keliru

Salam

Boleh tak pastikan sumber kenyataan nih:

Info Fiqh - Diriwayatkan oleh Abu Daud "Nabi SAW melihat seorang lelaki menunaikan sembahyang dua rakaat setelah menunaikan sembahyang subuh. Lalu Nabi SAW menegur dengan sabdanya: Sembahyang subuh (hanya) dua rakaat sahaja. Lelaki itu berkata: Saya belum lagi sembahyang dua rakaat (yang disunatkan) sebelum sembahyang subuh, maka saya melakukannya sekarang, lalu Rasulullah saw mendiamkan diri" .........
Diamnya Rasulullah saw ini dianggap satu iqrar (pengakuan) drpd Baginda saw bahawa sembahyang sunat qabliyah adalah disyariatkan yakni dibernarkan dilakukan selepas sembahyang subuh bagi mereka yang tidak sempat menunaikannya sebelum menunaikan sembahyang subuh. (Petikan dari Kitab Fikah Mazhab Syafie, Jilid 1,Pustaka Salam 2005. M/S 19)

Sebab saya dah rujuk 2 link pasal solat sunat lepas subuh dalam al-ahkam punye forum dan kedua2 link dibawah menyebut tidak ada solat sunat lepas subuh.

http://www.al-ahkam.net/home/index.php?name=MDForum&file=viewtopic&t=19035&highlight=sunat+subuh&sid=b5864c9a97c7065f078a8bca5b782ed6

http://www.al-ahkam.net/home/index.php?name=MDForum&file=viewtopic&t=16712&highlight=sunat+subuh&sid=b5864c9a97c7065f078a8bca5b782ed6

Jadinya kitab di atas tu salah atau tidak wujud sebenarnya atau macam mana? Harap boleh bantu.

Jazakumullah.

Wassalam

**************
kamin
Panel Feqh

wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan hambaMu dengan kadar kemampuan yang ada, Insya-Allah.

Waktu selepas subuh itu (sebelum matahari naik) tidak dibenarkan solat-sola sunat, kecuali Solat sunat yang mendatang; seperti Solat Tahiyatul Masjid, Solat Gerhana, Solat Jenazah, Solat Qada' dsb. Solat Dhuha hanya boleh dilakukan apabila matahari telah naik, kira2 20minit selepas waktu Syuruq.

Kami petik kembali hadit yang enta kemukakan :-

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعَصْرِ فَسَأَلَتْهُ عَنْهُمَا فَقَالَ : إِنَّهُ أَتَانِي نَاسٌ مِنْ عَبْدِ الْقَيْسِ فَشَغَلُونِي عَنْ الرَّكْعَتَيْنِ اللَّتَيْنِ بَعْدَ الظُّهْرِ فَهُمَا هَاتَانِ
"Nabi telah melihat seorang lelaki bersolat 2 rakaat selepas menunaikan solat Subuh 2 rakaat. Nabi berkata : Adakah anda bersolat fajar dua kali? Berkata lelaki tersebut kepada Nabi : Saya tidak bersolat 2 rakaat sebelum itu, maka aku bersolat sekarang. Nabi mendiamkan diri." [Hadith Riwayat Ibn Majah #1154. Al-Albani mengkelaskan sebagai Sahih didalam Sahih Ibn Maajah #984.]

Ibn Qudamah rh didalam komentarnya mengatakan bahawa disebabkan Nabi mendiamkan diri maka qadha' solat sunat pada waktu yang ditegah dibenarkan. [al-Mughni. 2/532]. Solat sebelum Subuh ini mempunyai fadhilat yang besar, dan Nabi saw walaupun didalam permusafiran tidak pernah meninggalkan Solat Sunat sebelum Fajar. Bagi mereka yang terlepas Solat Sunat sebelum Fajar, dibenarkan Qadha' solat tersebut sebaik-baiknya selepas Solat Subuh. Secara umumnya, Imam Syafie juga membenarkan mengqada' mana-mana solat pada waktu yang diharamkan bersolat.

Kesimpulannya, solat yang dilakukan didalam hadith diatas adalah solat sunat sebelum subuh, akan tetapi lelaki tersebut tidak sempat melakukannya, lalu ia mengqada'kan solat tersebut selepas solat subuh. Hadith ini juga menunjukkan bahawa Solat Sunat boleh di qada' pada waktu yang diharamkan bersolat (satu pengecualian). WA.

Sekian, wassalam.

Monday, April 25, 2011

Siapa yang banyak bicara, banyak pula salahnya; siapa yang banyak salah, hilanglah harga dirinya; siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak warak; sedangkan orang yang tidak warak itu bererti hatinya mati. (Saidina Ali Abu Talib)