Islam is the way of my Life

Sunday, February 8, 2009

Tughlaq

Kerajaan Tughlaq ( 1320-1417 )


Selepas mencapai kemenangan dalam peperangan di pinggir kota Delhi pada penghujung tahun 1320, Ghazi Malik telah dipilih secara rasmi oleh para pengikutnya sebagai pemerintah Kesultanan Delhi dengan memakai gelaran Ghiyathuddin Tughlaq Shah. Beliau berdarah campuran antara Turki dan India itu mula menceburkan diri dalam arena politik sejak kecil lagi iaitu dengan mengikut ayahnya yang menjadi hamba kepada sultan Ghayathuddin Balban. Ini bermakna pengalaman Tughlaq dalam sector politik dan pentadbiran tidak dapat dipertikaikan sama sekali. Mengikut Prof Singh, Tughlaq telah berjaya mengalahkan tentera Mongol yang menceroboh wilayah jajahan takluknya di Lahore sebanyak 29 kali. Hakikat ini menyebabkan tentera Mongol begitu gerund dengan beliau, dan tidak berani untuk mengganggu kerajaan Delhi dalam masa pemerintahannya.


Langkah pertama yang dilakukan oleh sultan Ghiyathuddin Tughlaq di Delhi ialah mengembalikan keamanan dalam negara yang terjejas teruk akibat rusuhan sebelumnya. Rusuhan bukan sahaja berlaku di sekitar Delhi, malah merebak ke seluruh wilayah Islam di India. Raja-raja Hindu Rajputs juga telah mengambil peluang daripada kegawatan politik di Delhi untuk mengisytiharkan kemerdekaan bagi wilayah tadbiran mereka dan menghentikan pembayaran ufti kepada kerajaan Islam. Ini telah menyebabkan perbendaharaan negara menjadi gersang. Tambahan pula Khusraw Khan sebelumnya telah menggunakan banyak wang negara untuk memberi rasuah kepada para pegawai kerajaan agar menyokong beliau. Oleh sebab itu, Tughlaq telah mengambil tindakan tegas dengan mengarahkan semua golongan yang terlibat menerima rasuah daripada Khusraw Khan itu supaya menyerahkannya kembali kepada perbendaharaan negara jika mereka tidak mahu dihukum. Peraturan ini walaubagaimanapun telah mendapat tentangan daripada sesetengah golongan yang menganggap pemberian itu bukannya rasuah.


Dalam menangani isu pemberontakan golongan Hindu Rajputs terutama di wilayah Deccan, sultan Tughlaq telah menghantar anaknya Jawna Khan bagi menghadapi mereka. Mengikut Qureshi, sebaik sahaja tiba di Deccan Jawna Khan telah dikejutkan dengan berita kemangkatan ayahnya yang menyebabkan beliau bergegas pulang ke Delhi. Setibanya di Delhi ternyata ayahnya masih hidup dan berita tersebut hanya khabar angina yang sengaja disebarkan oleh golongan Hindu bagi menggagalkan perjuangan Jawna. Dengan itu, Jawna telah berangkat sekali lagi (723/1323) ke Deccan bagi menghadapi golongan penderhaka Hindu tersebut. Dalam ekspedisi kedua ini Jawna telah berjaya menawan kembali wilayah tersebut dengan mudah.


Sementara itu, sultan Tughlaq sendiri telah berangkat ke Bengal bagi membantu amir Nasiruddin yang sedang menghadapi tekanan daripada saudara-saudaranya yang ingin merebut jawatan gabenor daripadanya. Tughlaq telah berjaya menamatkan sengketa tersebut dan mengekalkan Nasiruddin sebagai gabenor yang sah di situ. Setelah selesai urusan di Bengal, Sultan Tughlaq telah berangkat pulang ke Delhi dengan membawa ghanimah yang banyak hasil rampasan di Mithila iaitu wilayah jajahan takluk raja Hindu. Setibanya di Afghanpur iaitu salah satu kawasan penempatan komuniti Afghan di luar kota Delhi, stu upacara sambutan besar-besaran telah dianjurkan oleh putra Jawna Khan bagi menyambut kepulangan ayahnya. Ketika majlis sedang berjalan, tiba-tiba pentas khas yang diduduki oleh sultan Tughlaq telah runtuh mengakibatkan kecederaan parah kepada sultan hingga membawa kemangkatannya. Dengan itu, Jawna Khan telah diisytiharkan sebagai sultan pada bulan Februari 1325 dengan memakai gelaran Sultan Muhammad Shah bin Ghiyathuddin Tughlaq Shah. Walaubagaimanapun, kebanyakan ahli sejarah lebih selesa menyebutnya sebagai Muhammad Tughlaq sahaja.


Dari segi personality, Muhammad Tughlaq diiktiraf sebagai satu-satunya pemimpin dalam dinasti Tughlaq yang memiliki pelbagai kemahiran, rohani dan jasmani. Kemahiran jasmani menyebabkan beliau sentiasa menang dalam peperangan dan amat digeruni oleh musuh-musuhnya. Sementara kemahiran rohani membuatkan beliau disegani oleh teman-temannya. Beliau sentiasa menjaga akhlaknya dan tidak pernah lalai dalam mengerjakan ibadah serta tidak mencampuri sebarang majlis yang boleh membawa kepada kelalaian. Beliau amat prihatin terhadap urusan negara dan kebajikan rakyat. Oleh sebab itu, ramai pegawai kerajaan yang terpaksa menghadapi hukuman kerana kecuaian mereka dalam menjalankan tugas. Selain daripada itu, sultan juga dikagumi kerana kemampuannya menggarab berbagai ilmu pengetahuan, agama, sains dan juga bahasa. Kehebatan ini menyebabkan Smith menganggapnya sebagai one of the wonders of the age.


Sebagai pemimpin yang memerintah agak lama iaitu kira-kira 26 tahun (1325-1351), Muhammad Tughlaq sempat melakukan berbagai perubahan antaranya penguatkuasaan system percukaian, mengeluarkan matawang tembaga bagi menggantikan wang emas dan perak, melebarkan wilayah Kesultanan Delhi ke luar daripada India, dan mengubah pusat pentadbiran negara ke kawasan tengah India. Tindakan ini dilihat oleh sesetengah sejarawan sebagai langkah tidak bijak kerana ia menyebabkan inflasi dan kejatuhan ekonomi negara. Malah kenaikan kadar cukai juga ada kaitannya dengan kegagalan projek tersebut kerana sultan tiada pilihan untuk menampung perbelanjaan negara selain daripada menaikkan kadar cukai. Dan krisis politik lantaran rakyat tidak rela berada dalam kesusahan.


Sebenarnya apa yang dilakukan oleh sultan itu ada hubungannya dengan kepentingan politik. Misalnya, perpindahan pusat pemerintahan daripada Delhi ke Devagiri jelas menunjukkan suatu perancangan politik yang bijak terutama bagi membanteras golongan penderhaka Hindu Rajputs yang tidak jemu menimbulkan segala macam tentangan terhadap pemerintah Islam di Delhi. Golongan Hindu Rajputs ini berani bertindak demikian kerana mereka tahu tidak mudah bagi pemerintah Delhi untuk menghadapi mereka kerana kawasan mereka terletak jauh di bahagian tengah India yang dibanjiri pula oleh kawasan berbukit-bukau. Oleh itu, sepanjang sejarah pemerintahan Islam di India, kita dapati kawasan Deccan tidak pernah sunyi dengan pemberontakan yang ditimbulkan oleh raja-raja Hindu. Jadi dengan memindahkan pusat pentadbiran ke kawasan tersebut, sudah tentu ianya dapat mengurangkan kegiatan anti kerajaan yang kerap berlaku di situ, kalaupun tidak menghapuskannya sama sekali. Bukti yang paling ketara bahawa perpindahan itu lebih bermotifkan politik ialah sultan tidak membawa golongan korporat bersamanya ke Devagiri, tetapi membawa golongan terokrat dan juga tentera, malah mengambil anggota baru tentera lebih ramai untuk ditempatkan di pusat pentadbiran yang baru itu.


Sehubungan dengan itu, Prof. Qureshi menjelaskan bahawa pembinaan pusat pentadbiran baru yang dikenali dengan nama “Dawlatabad” itu bukanlah bertujuan untuk menyaingi kota Delhi seperti yang didakwa oleh sebahagian masyarakat Hindu. Namun perpindahan itu amat merunsingkan mereka kerana sultan lebih mengutamakan masyarakat Muslim supaya berpindah ke Dawlatabad dan tidak menggalakkan orang-orang Hindu berpindah ke situ. Tujuan sultan berbuat demikian mungkin untuk meningkatkan jumlah penduduk Islam di kawasan yang dimonopoli oleh masyarakat Hindu itu. Dan apabila wujud keseimbangan antara penduduk yang berbeza agama akan wujudlah keharmonian kerana tiada lagi golongan yang merasa ego dengan kemajoritiannya. Sementara itu, tindakan sultan menaikkan cukai pertanian juga amat tidak disenangi oleh golongan Hindu kerana merekalah yang benyak menguasai tanah-tanah pertanian sedangkan kebanyakan umat islam terdiri daripada golongan mendatang yang tidak benyak terlibat dengan sector pertanian, malah tidak begitu mahir dengan aktiviti pertanian. Kenaikan cukai yang berlebihan, walaubagaimanapun, telah memberi implikasi yang lebih buruk terhadap ekonomi negara kerana kebanyakan petani telah bertindak meninggalkan ladang-ladang mereka dan menumpukan perhatian dalam bidang kerjaya yang lain.

Dekad pertama pemerintahan Muhammad Tughlaq menunjukkan bahawa beliau mendapat sokongan daripada masyarakat Islam di India, dan ini telah memberi peluang kepada beliau untuk melaksanakan segala projek pembangunan walaupun mendapat tentangan daripada masyarakat Hindu. Akan tetapi, dalam dekad kedua pemerintahannya, suara-suara tidak puas hati di kalangan umat Islam terhadap polisi pentadbiran sultan Muhammad telah mula kedengaran. Dalam tahun 1335M satu pemberontakan telah wujud di Madura (Ma’bar) dimana amir Syed Jalaluddin Ahsan telah mengisytiharkan wilayahnya merdeka daripada pemerintahan pusat. Tindakan ini, walaupun telah memberi kuasa politik yang mutlak kepada pemerintahnya, namun ianya amat lemah untuk menghadapi serangan dari luar. Ini terbukti dengan kehancuran negara tersebut di tangan pemerintah Vijayanagar tiga tahun kemudian.


Dalam tahun 1337 pemberontakan yang serupa telah berlaku di Bengal di mana gabenor Qadir Khan telah dibunuh oleh pegawainya yang dikenali sebagai Fakhruddin dan mengisytiharkan dirinya sebagai pemerintah Bengal. Lebih jauh dari itu, Fakhruddin telah bertindak memutuskan hubungan dengan kerajaan pusat dan menjadikan Bengal sebagai wilayah yang merdeka. Sultan yang sibuk dengan projek jihadnya di sempadan India tidak dapat memberikan apa-apa respon yang sesuai untuk mengatasi masalah perpecahan di peringkat wilayah. Keadaan ini telah memberi peluang kepada Fakhruddin untuk menawan beberapa wilayah kecil di sekitar Bengal dan memasukkan di bawah pentadbirannya.

diambil dari buku tamadun Islam di India

No comments: