Islam is the way of my Life

Monday, March 30, 2009

Sejarah pemikiran politik Islam di tanah melayu sebelum dan selepas merdeka

2.1 POLITIK TANAH MELAYU

Pemikiran politik Islam di Tanah Melayu dapat di bahagikan kepada dua era iaitu sebelum dan selepas merdeka. Politik sebelum merdeka telah mula kelihatan apabila rakyat merasakan hak dan kepentingan mereka sebagai penduduk telah diperkotak-katikan oleh penjajah. Hal ini ditambah lagi dengan penubuhan persatuan dan kesatuan yang menyeru ke arah penentangan terhadap penjajah dan ke arah pemerintahan kerajaan sendiri. Politik di zaman sebelum merdeka telah diwarnai dengan pelbagai pertubuhan dan persatuan serta akhbar-akhbar yang menaikkan semangat rakyat tempatan dan bangsa yang berbilang kaum telah merancakkan lagi isu politik ketika itu.


Pemikiran politik selepas merdeka pula telah menyaksikan penyatuan rakyat-rakyat di bawah satu unit. Namun ada juga pertubuhan-pertubuhan lain yang muncul sebagai reaksi menuntut pilihan raya yang berlaku. Antara pertubuhan yang diketengahkan ialah UMNO, PAS, ABIM dan JIM. Selain itu, telah muncul juga pertubuhan bukan politik yang mana telah memainkan peranan dalam politik di Tanah Melayu selepas merdeka. Setiap pertubuhan yang wujud mempunyai matlamat dan tujuan yang tersendiri bagi memastikan rakyat dan negara Malaysia mendapat yang terbaik.


Pemikiran politik di Tanah Melayu ini juga dapat dilihat melalui peranan akhbar-akhbar yang ada pada waktu itu, Antaranya akhbar Majlis dan Utusan Melayu yang banyak memberi sumbangan dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Majlis merupakan akhbar yang banyak memainkan peranan dalam menyebarkan seruan, sikap-sikap dan penentangan orang Melayu melalui lidah-lidah pengarang dan surat-surat kiriman dari serdik pandai dan pejuang-pejuang kebangsaan Melayu. Dengan semangat dan kesedaran yang begitu memuncak dikobar-kobarkan oleh akhbar-akhbar Melayu ketika itu, maka orang Melayu telah mengadakan perhimpunan-perhimpunan raksasa di beberapa buah bandar di Tanah Melayu untuk menentang Malayan Union (Fuziah & Ruslan 2001: 408).


3.1 PEMIKIRAN POLITIK ISLAM TANAH MELAYU SEBELUM MERDEKA

Pergerakan kelompok-kelompok politik yang mewakili orang Melayu di Tanah Melayu telah bermula pada tahun 1920an. Kesedaran politik di kalangan orang Melayu ini adalah berikutan dengan kesedaran politik di Tanah Melayu sendiri dan juga di negara-negara lain. Kelompok-kelompok politik ini mempunyai matlamat yang agak berbeza antara satu dengan yang lain. Dalam mencapai matlamat mereka, parti-parti ini telah mengadakan kegiatan untuk merangka konsep dan kerangka negara bangsa masing-masing (http://www.geocities.com/rifdan2002/spbm.htm)


Orang Melayu yang pada mulanya tidak berminat dengan kesatuan yang berbentuk politik telah mula menunjukkan minat sekitar tahun 1930an untuk membentuk kesatuan-kesatuan politik. Keadaan ini kerana keadaan sosaial dan ekonomi yang bergolak serta cabaran yang ditimbulkan oleh pendatang yang mana bilangan mereka yang semakin membimbangkan penduduk setempat. Hal ini menyebabkan orang-orang Melayu bangkit dan membentuk kesatuan politik bagi mempertahankan hak dan kepentingan mereka sebagai penduduk Melayu (http://www.geocities.com/rifdan2002/spbm.htm)


3.1.1 KEMUNCULAN PERSATUAN, KESATUAN DAN KELAB

Pada umumnya kemunculan persatuan, kesatuan dan kelab di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19 adalah lebih bersifat tempatan, sosial dan kebajikan, dan belum lagi menunjukkan minat ke arah politik atau lebih khusus lagi semangat kebangsaan. Sifat-sifat ini seiring dengan corak perkembangan masyarakat yang belum menerima pengaruh bangsa asing. Kesatuan Melayu Singapura yang ditubuhkan pada tahun 1926, dan persatuan-persatuan Melayu negeri yang muncul pada akhir tahun 1930-an juga tidak menampakkan perubahan ketara daripada sifat-sifat asas ini. Walaupun persatuan-persatuan Melayu negeri telah gagal dalam usaha menubuhkan satu pertubuhan nasional akibat perasaan cemburu dan permusuhan kewilayahan, namun kegiatan persatuan-persatuan tersebut telah meletakkan asas untuk penubuhan UMNO dan seterusnya PERIKATAN bagi menghadapi persiapan ke arah pemerintahan sendiri. Tambahan pula, penubuhan persatuan-persatuan politik berhaluan kiri dengan aliran perjuangan yang tersendiri semakin merancakkan lagi perkembangan politik tanah air (Fuziah& Ruslan 2001: 361).


Menjelang abad ke-20, kesedaran kebangsaan di kalangan rakyat tanah-tanah jajahan termasuk di Tanah Melayu telah bermula. Kesedaran kebangsaan orang Melayu semakin bertambah kuat dan nyata seiring dengan perkembangan pesat semangat kebangsaan untuk menentang British terutamanya selepas Perang Dunia Pertama. Dalam usaha untuk merebut kemerdekaan bangsa dan negara persatuan yang bermatlamatkan politik adalah lebih penting. Oleh itu, timbul pemikiran tentang cara-cara hendak menjaga kepentingan bangsa, agama dan negara. Salah satu cara yang difikirkan sesuai dan boleh mencapai matlamat perjuangan mereka ialah melalui penubuhan persatuan, kesatuan dan kelab di Tanah Melayu (Fuziah & Ruslan 2001: 363).


Sebelum Perang Dunia Kedua, pola pergerakan persatuan di kalangan orang Melayu telah melahirkan dua golongan Melayu iaitu mereka yang terdidik di sekolah-sekolah Melayu, bukan bangsawan dan statusnya lebih hampir dengan orang Melayu, terlibat dalam kegiatan persatuan politik yang bersifat menentang dari luar, radikal dan bencikan British; manakala golongan berpendidikan Inggeris dan berketurunan bangsawan pula, tidak radikal tetapi menuntut hak-hak yang wajar dari dalam. Jelasnya dalam jangka panjang, kegiatan berpersatuan ketika itu lebih bersifat politik dan dalam jangka pendeknya, lebih menjurus kepada kegiatan bercorak kebudayaan, agama dan sosial (Fuziah & Ruslan 2001: 364).


Perang Dunia Kedua dan pendudukan Jepun hampir 3 ½ tahun mempunyai signifikan dan perubahan yang besar terhadap perkembangan politik di Tanah Melayu. Perubahan besar ialah cubaan kerajaan British menukar taraf negeri-negeri Melayu daripada negeri-negeri yang bernaung kepada tanah jajahan dengan memperkenalkan Malayan Union. Rancangan Malayan Union semakin menyemarakkan lagi nasionalisme orang Melayu. Kekalahan British di tangan Jepun membuktikan bahawa kuasa barat tidak sekuat mana dan secara tidak langsung martabat orang Inggeris telah jatuh. Pemerintahan Jepun telah mengukuhkan harapan masyarakat untuk memperoleh kemerdekaan daripada British. Sejak tamatnya Perang Dunia Kedua, kesedaran politik sudah begitu kuat di Tanah Melayu. Perubahan politik sekurang-kurangnya telah menyatupadukan bangsa Melayu dan pada ketika itu juga gerakan politik menyatakan tentangan terhadap pemerintahan British secara terbuka. Pertumbuhan persatuan-persatuan bersifat politik terus berlaku sejak selepas wujudnya Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948 (Fuziah & Ruslan 2001: 364).

3.1.2 PERSATUAN BERCORAK POLITIK

a) Kesatuan Melayu Singapura (KMS), 14 Mei 1926

KMS diasaskan oleh Mohamad Eunos bin Abdullah dengan bantuan Tengku Abdul Kadir, Imam Haji Mohd Yusof bin Haji Said (Naib Yang Dipertua) dan Emboh Suloh bin Haji Omar (Bendahari). Beliau sedar bahawa kepentingan orang Melayu Singapura hanya akan terjamin dan dipertingkatkan dengan berkesan oleh masyarakat Melayu sendiri. Justeru itu, perjuangan utama KMS adalah untuk memperbaiki kedudukan sosioekonomi orang Melayu dan memupuk kecenderungan mereka dalam bidang politik. Pembentukan KMS merupakan satu inovasi politik orang Melayu yang mementingkan pencapaian ekonomi dan kepentingan sosial mereka. Penubuhan KMS mempunyai empat motif utama:

  1. Menggalakkan orang Melayu melibatkan diri dalam lapangan politik, pentadbiran dan urusan umum.
  2. Menggalakkan orang Melayu maju dalam semua bidang.
  3. Mewakili suara dan tuntutan orang Melayu kepada kerajaan.
  4. Menggalakkan pemuda-pemuda Melayu yang berpendidikan tinggi membantu kerajaan memberi pelajaran kepada anak-anak Melayu.
  5. Mencadangkan dan membantu anak-anak Melayu mendapatkan pelajaran akademik dan teknik yang tinggi supaya orang Melayu bertambah semangat mengejar perkembangan pelajaran baru. (Fuziah &Ruslan 2001: 372).

Pada keseluruhannya, penubuhan KMS telah memberi ilham kepada beberapa pemimpin di negeri-negeri lain. Kesedaran orang Melayu untuk bergerak dengan persatuan semakin kelihatan. Kejayaan besar KMS di Singapura kemudiannya mendorong cawangan-cawangannya ditubuhkan di kawasan luar Singapura termasuk di beberapa buah negeri di Semenanjung Tanah Melayu (Fuziah & Ruslan 2001: 373).

b) Kesatuan Melayu Muda

Badan pertama yang bersifat politik pada tingkat nasional ialah kesatuan Melayu Muda

( KMM ) yang didirikan pada Mei 1937. Awalnya, persatuan ini bernama Persatuan Belia Melayu ( Malay Youth League), lalu ditukar menjadi Kesatuan Melayu Muda mencontohi ‘Turki Muda’ yang terkenal di kalangan orang-orang Melayu ketika itu. Sejak awal, organisasi Hussain, dan Ahmad Boestamam kerana kegiatan-kegiatannya yang anti-Inggris, akhirnya pada 4 Disember 1941 pihak inggeris menangkap 110 orang pendukungnya di seluruh pelusuk Malaysia. Pada zaman Jepun, KMM dapat menjalin hubungan baik dengan pemerintah pendudukan Jepun. Kemudian Jepun memerintahkan agar KMM dibubarkan pada Februari- Jun 1942 ( Abdul Rahman. 1997: 129 ).

Kebanyakan daripada ahli jawatankuasa dan ahlinya terdiri dari golongan guru dan wartawan. Ini bererti pemimpinnya bukanlah terdiri dari orang pilihan kerajaan tetapi mereka muncul kerana daya usaha sendiri. Sebenarnya sebilangan kecil yang menjadi pemimpin KMM telah pernah bergiat bersama-sama menubuhkan ‘Belia Malaya’ di MPSI di tahun 1930 dahulu. Mereka ini ialah Ibrahim Yaacob, Hassan Manan, Abdul Karim Rashid dan Isa Mohamad. KMM ini merupakan satu kesatuan yang tidakmengakui taat setia kepada kerajaan Inggeris dan menganuti dasar tidak bekerjasama dengan pihak British. Perjuangan mereka ini dipengaruhi dari perkembangan nasionalisma Indonesia dan bertujuan untuk kemerdekaan Malaya dan bersatu dengan Indonesia (Maymon 1973-79: 47-48).

Perjuangan politik mulai jelas di Tanah Melayu pada akhir tahun 1930-an. Pada bulan Mei 1937, golongan nasionalis yang berpendidikan Melayu dan dipengaruhi oleh gerakan nasionalis Indonesia telah menubuhkan sebuah parti politik iaitu Kesatuan Melayu Muda (KMM) di Kuala Lumpur dan didaftarkan pada bulan Ogos 1938. KMM merupakan pertubuhan politik yang pertama di Tanah Melayu, bersifat radikal dan merupakan organisasi politik Melayu pertama menganuti fahaman aliran kiri. Orang yang memainkan peranan penting dalam penubuhan KMM ialah Ibrahim bin Haji Yaakub. Beliau ialah pengasas dan Yang Dipertua KMM. Kemunculan KMM sebagai organisasi politik kiri ialah lanjutan daripada perkembangan yang berlaku di dalam dan di luar negeri (Fuziah , Ruslan 2001: 379).

Tujuan penubuhan KMM adalah untuk menggabungkan semua orang Melayu, tidak kira negeri asalnya, bagi mempertahan, melindungi dan memperjuangkan hak dan kepentingan bangsa Melayu. KMM bermatlamat untuk menghindarkan orang Melayu daripada diperas oleh kaum lain dan melahirkan semangat kebangsaan. Mereka berpendapat bahawa persatuan Melayu yang berasaskan kenegerian tidak menguntungkan orang Melayu. KMM memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu dan ingin membebaskan Tanah Melayu daripada penjajah baik dari segi ekonomi, politik atau sosial dan seterusnya bergabung dengan Indonesia untuk mewujudkan Indonesia Raya atau Melayu Raya. KMM merupakan parti yang bersifat radikal dan menyatakan tentangan terhadap British secara terbuka. Perjuangan KMM telah dilaksanakan melalui akhbar-akhbar seperti Warta Malaya dan Majlis, dan ceramah-ceramah terutamanya oleh Ibrahim Yaakob. (Fuziah & Ruslan 2001: 381).

Kesimpulannya, KMM merupaka pertubuhan Melayu yang pertama menuntut kemerdekaan. Salah satu cara untuk mencapai matlamat ini ialah berhubung dan bekerjasama dengan kerajaan Jepun sebelum mereka menyerang Malaya. Selama tiga tahun (1938-1941), KMM bergerak menumpukan perhatian bagi mempengaruhi ramai ahli. Mengenai kegiatan lain tidak jelas diketahui kerana badan ini disyaki oleh kerajaan Inggeris, jadi KMM tidak berani bergerak secara terbuka. KMM juga bergiat dalam pendudukan Jepun. Mereka telah bekerjasama dengan pihak Jepun dan dipihak lain berhubung dengan Malayan People Anti-Japanese Association (MPAJA). Dengan itu anggota KMM dapat menyandang jawatan-jawatan politik dalam pentadbiran tentera Jepun. KMM itu tidak kekal lama oleh kerana pihak Jepun mengetahui KMM telah berhubung dengan Parti Komunis Tanah Melayu (PKM). Ini menyebabkan pihak Jepun mengharamkan KMM pada bulanJun, 1942. Tetapi pemimpin-pemimpin KMM tidak pula ditankap, sebaliknya mereka dibenarkan menguasai Pembela Tanahair (PETA) sebuah pertubuhan ketenteraan yang ditubuhkan oleh pihak Jepun (Maymon 1973-79: 48-49).


3.2 PERKEMBANGAN POLITIK SELEPAS PERANG

Selepas Perang Dunia Kedua, kesedaran baru dan semangat kebangsaan merebak di kalangan para pelajar Melayu di sekolah-sekolah Inggeris. Kebanyakan parti politik yang ditubuhkan mempunyai tujuan yang sama iaitu menyingkirkan pemerintahan British dan mendirikan sebuah negara merdeka. Parti-parti yang ditubuhkan selepas perang mewakili cita-cita KMM sebelum perang dan KRIS semasa Perang Dunia Kedua iaitu memperjuangkan kemerdekaan. Golongan ini juga sangat dipengaruhi oleh perjuangan golongan nasionalis di Indonesia yang menentang Belanda. (Fuziah Shaffie, Ruslan Zainuddin 2001: 384).

Persatuan-persatuan ini sedia menggunakan kekerasan jika perlu untuk mencapai matlamatnya. Antara parti-parti yang muncul ialah Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA), Malayan Democratic Union (MDU), All Malayan Council of Joint Action (AMCJA). Parti-parti politik sayap kiri dan sosialis juga telah wujud, seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS). Selain itu juga telah muncul kesatuan-kesatuan negeri yang mana berperanan dalam membangkitkan lagi semangat rakyat dalam usaha mempertahankan tanah air daripada penjajah (Fuziah & Ruslan2001: 387).

a) Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)

Sebelum tertubuhnya UMNO, pada 17 Oktober 1945, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) telah dibentuk di Ipoh, Perak hasil rundingan dan persetujuan dua kumpulan pemuda, iaitu golongan Ahmad Boestamam dan golongan Mokhtaruddin Lasso. Golongan Ahmad Boestamam berfahaman kebangsaan dan golongan Mokhtaruddin Lasso terdiri daripada kumpulan MPAJA (komunis). PKMM dipimpin oleh Moktaruddin Lasso. PKMM telah diasaskan dan dipengaruhi oleh PKM yang mana PKM menguasai PKMM dari segi keanggotaan jawatankuasanya. PKMM ditubuhkan untuk melahirkan kesedaran politik yang progresif di kalangan orang Melayu. (Fuziah& Ruslan 2001: 387).

Penubuhan PKMM telah disusuli dengan kongresnya yang pertama di Ipoh pada 30 November hingga 3 Disember 1945. Dasar PKMM ialah:

  1. Menyatupadukan bangsa Melayu, menanamkan semangat kebangsaan dalam sanubari orang Melayu dan bertujuan untuk menyatukan Malayan dalam keluarga besar iaitu Republik Indonesia Raya.
  2. Bertujuan mencapai hak kemerdekaan berpidato, bergerak, bersidang, berfikir dan menuntut pelajaran.
  3. Membangkitkan kedudukan iktisad bangsa Melayu dengan jelas, memajukan perusahaan, perniagaan dan pertanian serta menaikkan taraf penghidupan bangsa Melayu.
  4. Mencapai kebebasan bercucuk tanam. Orang yang hendak bercucuk tanam dibebaskan menbayar sewa tanah pada bila-bila masa dan di mana juga dan dibebaskan menjual hasil usahanya itu di pasar perniagaan.
  5. Menghendaki diberi kebebasan penuh kepada orang Melayu mendirikan sekolah kebangsaan mereka, iaitu tempat mereka mendapat pelajaran dan bahasa dengan percuma.
  6. Menghendaki kebebasan mencetak buku sendiri, menggalakkan pelajaran secara demokrasi, supaya meninggikan kedudukan bangsa Melayu dalam siasah untuk mendakyahkan rasa kebanggaan kepada orang Melayu
  7. PKMM hendak bekerjasama dengan bangsa-bangsa lain yang tinggal dalam negeri ini hidup dengan berbaik-baik dan bekerja untuk mendirikan perpaduan penduduk Malaya (Malayan United front) bagi menjadikan Malaya Merdeka makmur dan bahagia sebagai satu anggota Republik Indonesia Raya.
  8. Menyokong gerakan rakyat Indonesia dalam perjuangan mereka merebut kemerdekaannya (Ramlah 2004: 87-88).

Kerjasama PKMM/PUTER-AMCJA, 1947-1948 ini termasuk juga API, berlaku kerana tujuan yang sama iaitu ingin menentang UMNO, British dan Raja-raja Melayu yang sedang berunding bagi menggantikan Malayan Union dengan Perjanjian Persekutuan 1948. Menjelang akhir tahun 1946, tentangan PKMM terhadap kerajaan British dan UMNO semakin lantang. Ini kerana sejak bulan Jun 1946, persetujuan telah dicapai antara British, UMNO dengan Raja-raja Melayu, untuk menubuhkan jawatankuasa kerja bagi mendraf perlembagaan yang baru menggantikan Malayan Union (Ramlah 2004: 235).

Desakan-desakan PKMM dalam memberi semula kedudukan tradisional dan kuasa eksekutif Raja-raja Melayu, pendaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi pentadbiran, penjagaan kepentingan ekonomi, sosial dan politik orang Melayu, tidaklah berbeza daripada UMNO. Malah itulah yang dituntut oleh UMNO daripada kerajaan British sejak Kongres 1946 lagi. Perkara yang berbeza antara PKMM dengan UMNO ialah soal kerakyatan dan berkerajaan sendiri melalui pilihanraya. Dalam soal kerakyatan, salah satu bantahan asas UMNO ialah menolak pemberian kerakyatan jus soli yang terbuka kepada orang asing. UMNO juga berbeza pendapat dari segi langkah berkerajaan sendiri. Pemimpin UMNO seperti Dato’Onn dan Za’ba berpendapat bahawa orang Melayu masih lagi terlalu lemah dari segi pelajaran dan ekonomi, tidak akan membolehkan orang Melayu dapat menguasai kuasa politik dan pentadbiran Tanah Melayu dengan baik ( Ramlah 2004: 241 ).


b) PUTERA

Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) ialah parti-parti politik sayap kiri seperti PKMM, API dan AWAS yang bergabung dalam satu barisan. Ditubuhkan pada 22 Februari 1947. PUTERA tidak bersetuju dengan laporan Jawatankuasa Kerja Persekutuan Tanah Melayu 1948y yang banyak menunjukkan sikap bertolak ansur dengan British. Sebagai sebuah pertubuhan yang radikal dalam politik, PUTERA turut membantah Malayan Union. PUTERA kemudiannya menjalinkan kerjasama dengan AMCJA. Dr. Burhanuddin helmi dilantik sebagai pengerusi (Fuziah & Ruslan 2001: 389).

Perikatan PUTERA-AMCJA telah memulaukan Jawatankuasa Perundingan yang diwujudkan oleh British. Badan itu juga menolak perlembagaan Persekutuan yang dirangka oleh British. Pada bulan April 1947, AMCJA-PUTERA telah mengemukakan ‘Perlembagaan Rakyat’untuk menggantikan perlembagaan Persekutuan yang dirangka oleh British. Malangnya, British telah menolak perlembagaan tersebut kerana tidak mahu bekerjasama dengan golongan kiri yang diperalatkan oleh Komunis. Oleh itu, seluruh PUTERA-AMCJA melancarkan mogok besar yang dinamakan Hartal diseluruh tanah air kerana membantah tindakan British itu. Tetapi hartal ini tidak banyak meninggalkan kesan dan gagal dilancarkan di Perlis, Johor, Kelantan dan Terengganu (Fuziah &, Ruslan 2001: 389).

c) Independence for Malaya Party (IMP)

IMP ditubuhkan pada Ogos 1951 oleh Dato’Onn bin Jaafar. Dato’Onn berpendapat bahawa kemerdekaan daripada British tidak boleh dicapai hanya melalui perjuangan UMNO dan MCA sahaja walaupun kedua-dua pertubuhan ini merupakan parti politik yang paling kuat menjelang tahun 1951. Dato’Onn cuba memujuk UMNO supaya menerima orang bukan Melayu menjadi ahli (membuka keanggotaan UMNO kepada kaum bukan Melayu); menerima kaum bukan Melayu sebagai ‘rakan’ perjuangan UMNO; dan mengubah nama UMNO sebagai parti pertubuhan Melayu kepada parti pertubuhan ‘Malaya’ agar keanggotaan UMNO dapat dibuka kepada bangsa-bangsa lain tanpa mengira keturunan dan agama. (Fuziah & Ruslan 2001: 393).

Malangnya beliau gagal memujuk ahli UMNO dan terus meletak jawatan sebagai Presiden UMNO dan tempatnya telah digantikan oleh Tunku Abdul Rahman. Ekoran dari perletakan jawatan itulah, beliau telah keluar dah menubuhkan IMP. Parti ini ialah sebuah parti politik yang berbilang kaum tetapi kebanyakna ahlinya terdiri daripada orang Melayu. Tujuan IMP ialah menuntut supaya pilihan raya umum diadakan pada tahun 1955. Kemudian Tanah Melayu mesti mencapai kemerdekaan pada tahun 1961. Terdapat beberapa rancangan pembaharuan lain yang turut dibincangkan. (Fuziah & Ruslan 2001: 393).

Antaranya mencadangkan supaya Singapura bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka dan merancang proses menggantikan pegawai-pegawai British dengan orang tempatan dalam pentadbiran atau’Malayanisasi’. Selain itu, Parti Negara memperjuangkan perpaduan nasional dan mempertahankan kedudukan raja-raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan, menuntut taraf berkerajaan sendiri, menerima bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dan juga mendesak supaya kemasukan orang asing dikawal. Soal kemunduran orang Melayu dan tekanan daripada orang bukan Melayu lebih diberi penekanan dan parti ini juga turut berhasrat memberi kedudukan khas kepada agama Islam (Fuziah &Ruslan 2001: 393).


d) Parti Perikatan

Menjelang pilihan raya Majlis Bandaran Kuala Lumpur pada tahun 1952, ketua Parti MCA Selangor, Kolonel H.S. Lee dan Ketua Jawatankuasa kecil Pilihan Raya UMNO Kuala Lumpur, telah berpakat untuk bekerjasama secara sementara dalam pilihanraya tersebut. Berdasarka persetujuan yang telah dicapai , UMNO tidak akan bertanding di kawasan MCA dan MCA tidak akan bertanding di kawasan UMNO. Kedua-dua pihak akan saling bantu-membantu di kawasan masing-masing. Ini bererti, penyokong MCA di kawasan UMNO akan mengundi untuk calon UMNO dan penyokong UMNO di kawasan MCA akan mengundi unutk calon MCA. Strategi ini membawa kepada kejayaan di mana pakatan UMNO-MCA telah memenangi sembilan kawasan daripada 12 kawasan yang dipertandingan dengan mendapat undi yang besar (Fuziah & Ruslan 2001: 394).

Kejayaan pakatan UMNO-MCA ini juga diamalkan di negeri-negeri lain dan ianya telah mendorong para pemimpin UMNO dan MCA untuk bekerjasama di peringkat nasional. Pada 3 Februari 1953, pemimpin-pemimpin UMNO-MCA telah mengadakan mesyuarat di Kelab Pelombong-pelombong Bijih Timah Selangor di Kuala Lumpur dan keputusan yang dicapai adalah untuk menubuhkan Parti Perikatan UMNO-MCA untuk berjuang dalam pilihan raya umum yang pertama di Tanah Melayu. (Fuziah & Ruslan 2001: 394).

3.3 DATO’ ONN DAN UMNO

Dato’ Onn telah menubuhkan ‘Pergerakan Melayu Semenanjung, Johor’ (PMSJ) pada 3 Januari tahun 1946, dengan tujuan untuk:

a. Menyatukan orang Melayu untuk menghadapi segala apa jua kemungkinan dari rancangan Inggeris menubuhkan Malayan Union

b. Bergerak dengan sebulat suara dan satu tekad untuk menentang dan menghapuskan rancangan Inggeris menjadikan Tanah Melayu jajahan takluknya.( Ja’afar 2007: 21)

Dato’ onn telah mengadakan satu kongres untuk membincangkan perkara penubuhan Malayan Union serta memikirkan tindakan dan langkah-langkah yang perlu diambil unruk membanteras rancangan kerajaan Inggeris itu. Kongres Pertama berlangsung hingga pada 1 hingga 3 Mac 1946 . Ucapan pembukaan Dato’ Onn di Kongress Melayu pertama disampaikan dengan penuh semangat dan kesedaran ( Ja’afar 2007: 28).

Kongres Melayu Pertama dengan sebulat suara, bersetuju menubuhkan suatu pertubuhan induk dengan menggabungkan persatuan, perikatan dan pertubuhan-pertubuhan Melayu di seluruh negara. Nama yang dicadangkan oleh oleh Dato’ Onn iaitu ‘Pertubuhan Melayu Bersatu’ (UMO) telah diterima, dengan pindaan penambahan perkataan ‘Kebangsaan’ diatas cadangan Encik Zainal Abidin bin Ahmad (Za’aba); lalu menjadikannya ‘Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu’ (PEKEMBAR) atau dalam Bahasa Inggeris, ‘United Malay National Organisation’ atau ringkasnya ‘UMNO’ ( Ja’afar 2007: 32).

3.4 UMNO


Dato’ Onn Jaafar menjadi Yang DiPertua Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ‘PEKEMBAR’ atau United Malay National Organisation ( UMNO ). Selain daripada kebolehan sebagai seorang penulis, wartawan dan penterjemah, Dato’Onn juga adalah seorang pemidato yang bijak. Beliau amat bijak memintas hujah-hujah lawan di dalam sesuatu perbincangan. Kebolehannya itu digunakan dengan sebaik-baiknya sama ada di dalam perjumpaan parti mahupun di dalam Majlis Mesyuarat Negeri dan sebagainya. Tugasnya sebagai pegawai Kerajaan yang pernah berkhidmat dengan berbagai-bagai jabatan menjadikan Dato’Onn kaya dengan pengalaman. Pekerjaannya sebagai kakitangan di Pejabat Penasihat British menjadikan beliau arif tentang tindak tanduk dan layanan pihak British. Beliau berjuang untuk menentang kezaliman dan membela nasib golongan yang ditindas (Mohd. Tajuddin1987: 13).

Semasa beliau menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Johor, beliau telah mempersoalkan isu ketidaksamaan layanan dan kemudahan di antara pegawai bumiputera dan pegawai Inggeris. Cita-citanya unutk memajukan bangsa Melayu bukan hanya terbatas dalam bidang politik dan ekonomi sahaja bahkan yang lebih penting adalah anak kunci untuk memajukan bangsa Melayu dan membangkitkan kesedaran kebangsaan. Beliau juga telah mencadangkan biasiswa pelajaran diberikan kepada anak-anak Melayu yang menuntut di luar negeri. Pada 1940 pula, beliau membuat tuntutan supaya diadakan peluang-peluang latihan kemahiran dan kepimpinan kepada anak-anak Melayu di dalam pentadbiran Kerajaan (Mohd. Tajuddin1987: 14).

Malayan Union ataupun Kesatuan Malaya merupakan satu bentuk pentadbiran yang diperkenalkan oleh pihak British di Semenanjung Tanah Melayu apabila Undang-undang Awam diperkenalkan bagi menggantikan Pentadbiran Tentera British. Ianya diperkenalkan kerana kepentingan pentadbiran, politik, keselamatan dan ekonomi. Pada tahun 1945, iaitu apabila British berjaya bertapak semula di Tanah Melayu setelah berakhirnya Perang Dunia Kedua, Menteri Tanah Jajahan Inggeris telah membuat pengumuman tentang rancangan ini di dalam Parlimen Inggeris bahawa Kerajaan Inggeris telah membuat satu pertimbangan tentang masa hadapan Tanah Melayu dan menegaskan betapa perlunya menggabungkan Negeri-negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dalam satu unit pentadbiran yang cekap (Mohd. Tajuddin1987: 32).

Selain daripada itu satu usul lain diserapkan iaitu mengenai kelonggaran taraf kerakyatan akan diberikan kepada bangsa-bangsa asing. Rancangan ini bertujuan untuk menjadikan dan mempersiapkan Tanah Melayu ke arah sebuah negara berkerajaan sendiri dan berada di dalam lingkungan Komanwel Inggeris dan dinamakan negara Kesatuan Malaya atau Malayan Union. Negara berpelembagaan ini menggariskan satu sistem kerakyatan yang akan memberikan hak yang sama kepada penduduk di Tanah Melayu yang menganggap Tanah Melayu sebagai tanahair mereka. Negara ini akan terdiri daripada 9 buah negeri kesultanan di Tanah Melayu dan dua buah Negeri Selat (Melaka dan Pulau Pinang) sedangkan Singapura akan tetap berstatus sebagai sebuah negara jajahan (Mohd. Tajuddin1987: 33).

Apabila Perlembagaan baru itu diisytiharkan masyarakat Melayu menjadi gempar dan terkejut sekali. Mereka tidak menyangka sama sekali Malayan Union akan ditubuhkan, tambahan pula pemimpin-pemimpin Melayu tidak sempat berbincang dengan sultan-sultan untuk mengetahui dengan lebih terperinci lagi mengenai Malayan Union. Orang-orang Melayu mesti bersatu dan bangkit menentang habis-habisan. Tanah Melayu, hak-hak keistimewaan dan kedaulatan raja-raja mereka telah dicerobohi. Mereka mesti mempertahankannya meskipun hingga ke titisan darah terakhir. Suara-suara lantang bergema di mana-mana menyeru orang-orang Melayu bersatu di bawah satu unit yang besar dan utuh. Mereka melancarkan penentangan demi penentangan dari sebuah negeri ke sebuah negeri di seluruh Tanah Melayu (Mohd. Tajuddin 1987: 33).

Persidangan Agung UMNO pertama itu juga memilih tiga ahlinya untuk menjadi wakil Parti menyertai rombongan Raja-raja, yang dirancang berangkat ke England untuk mengemukakan bantahan baginda Raja-raja secara peribadi di atas penubuhan Malayan Union. Ahli-ahli yang dipilih oleh Mesyuarat Agung UMNO adalah Dato’ Onn Ja’afar, Dato’ Abdul Wahab (Dato’ Panglima Gantang), dan YTM Tunku Abdul Rahman Putra ( Kedah ). Mereka telah dibekalkan dengan amanat dengan amanat, seperti catatan di bawah:

“ Hendaklah kamu belayar ke England bersama Raja-raja supaya membentangkan kepada Rakyat Inggeris dan ahli-ahli Mesyuarat British dan kepada Pertubuhan-pertubuhan siasah dan lain-lain pertubuhan yang mewakili suara rakyat dan juga kepada lain-lain orang yang kamu fikirkan patut, akan bantahan ‘Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu’ yang mewakili umat Melayu di dalam Semenanjung Tanah Melayu ini, diatas yang mewakili

    1. Perjanjian-perjanjian yang ditandatangani oleh Raja-raja Melayu itu dengan Sir Harold Mac Michael, wakil khas Baginda Raja bagi Britain, adalah perjanjian-perjanjian yang tidak diakui oleh ‘Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu’ dan yang demikian, disifatkan tidak sah dilaksanakan ke atas masyarakat Melayu yang menjadi raja-raja itu.

    1. Supaya menuntut untuk diembalikan taraf Negeri-negeri Melayu menjadi Negeri yang merdeka

    1. Dijalankan langkah-langkah atau lain-lain perusahan yang akan memeliharakan kemerdekaan Negeri-negeri Melayu itu’.

Ditakdirkan, keberangkatan Raja-raja Melayu ke England telah dibatalkan kerana Kerajaan British akhirnya bersetuju memansuhkan penubuhan Malayan Union dan menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Melayu ( Ja’afar 2007: 57-58 ).

3.4.1 Sebab-sebab tentangan ke atas Malayan Union


  1. Memansuhkan kedudukan Negeri-negeri Melayu yang berdaulat dari berada di bawah ‘naungan’ Kerajaan British, kepada Jajahan takluk (Koloni) yang dikuasai penuh oleh Britain.
  2. Mengawal dan mengurangkan kuasa politik orang Melayu
  3. Menghapuskan kuasa Raja-raja Melayu, termasuk sebagai Penaung Agama Islam dan Ketua Adat Resam Melayu. Sebuah Majlis Penasihat Agama Islam dan Adat Resam Melayu akan ditubuhkan oleh Kerajaan Malayan Union kelak. Majlis itu akan dipengerusikan oleh Gabenor Inggeris, dengan Raja-raja Melayu menjadi ahli-ahlinya. Majlis Penasihat itu akan berperanan sebagai kuasa penimbal untuk memutuskan fatwa-fatwa berkaitan dengan agama Islam dan perkara-perkara berkenaan dengan adab resam orang Melayu.
  4. Mewujudkan hak kerakyatan sama taraf ( Common Citizenship ), dengan syarat kelayakan yang longgar, bagi semua penduduk Malaya, tanpa mengambil kira bangsa atau keturunan.
  5. memastikan sumbangan kaum-kaum pendatang sebagai pelabur dan sumber tenaga kerja dipelihara dan diutamakan.
  6. Menghapuskan hak-hak istimewa untuk orang Melayu, termasuk peruntukan tanah simpanan Melayu ( Malay Reserved Land ) dan jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan ( Ja’afar 2007: 1-2).

UMNO sememang parti politik yang banyak memainkan peranan dalam usaha Tanah Melayu bagi mencapai kemerdekaan. Antara politik yang dimainkan oleh Umno dalam usaha mecapai kemerdekaan Tanah Melayu ialah:

    1. Menyatukan orang Melayu menentang penubuhan Malayan Union.
    2. Memelihara kepentingan, memajukan dan membaiki keadaan orang Melayu.
    3. Mengadakan rapat-rapat umum di seluruh negara untuk menentang Malayan Union secara berterusan.
    4. Pengiriman telegram kepada Perdana Menteri Britain berkenaan bantahan terhadap Malayan Union.
    5. Penubuhan pergerakan wanita UMNO dengan nama Jabatan Kaum Ibu UMNO pada tahun 1947.
    6. Menjalankan kerjasama dengan parti-parti politik lain dalam meraih undi pilihanraya serta dalam usaha menentang penjajahan British.

Tahun 1952 sebagai garis pemisah memanifestasikan wujudnya buat kali pertama pemilihan ketua dalam negara apabila pilihanraya umum Dewan Bandaran Kuala Lumpur diadakan. Berbagai parti wujud politik wujud tetapi parti yang paling besar ialah UMNO yang lahir pada mac 1946 untuk membunuh Malayan Union. UMNO adalah satu badan yang ditubuhkan mengikut peraturan demokrasi iaitu ketuanya dipilih. Maka berhasillah UMNO dan dengan izin Allah, pada 1 feb 1948 Malayan Union dibubarkan dan lahir pula Persekutuan Tanah Melayu. Pada waktu itu bukan sahaja umno yang muncul sebagai parti politik bahkan juga Malayan democratik Union (MDU), malayan nasionality party (MNP) dan pergabungan beberapa parti termasuk MDU dan MNP menjadi All Malaya Council of Joint Action (AMCJA), kebanyakkannya untuk menentang UMNO. Akhir pergolakan itu, MNP pecah dari AMCJA dan wujudlah pula Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan bergabung pula PUTERA dengan AMCJA juga untuk menghentam UMNO. Sambil itu, pada tahun 1948 meletus darurat dan dengan tujuan untuk menarik orang-orang cina supaya mereka membantu dalam tindakan kerajaan maka MCA pun ditubuhkan (Ghazali 1981:73).

Sebagai sebuah negara, walaupun parti-parti politik yang halal bergolak berasaskan demokrasi, pemerintahan negara adalah di bawah sistem diktatur kerana tukang aturnya ialah kerajaan British dengan kelebihan kekuatannya memerintah negara.

Pada tahun 1952 tibanya waktu apabila cara pemilihan untuk mcari ketua diadakan di negara kita walaupun tersangat kecil wilayahnya iaitu terhad kepada bandar Kuala Lumpur saja. Disebabkan pengundi melayu yang terlalu sedikit bilangan pengundinya, cadangan untuk bermuafakat dengan MCA diterima oleh Tunku, maka disinilah lahirnya Parti Perikatan yang kemudiannya disertai oleh MIC pada tahun 1955 apabila negara menghadapi pilihanraya umum yang ptama walaupun pemerintahan masih dipegang oleh penjajah sehingga tahun 1957(Ghazali 1981:75). Sesudah wujudnya malaysia pada tahun 1963 banyak lagi parti politik dari Sabah dan Sarawak masuk bergabung dengan Perikatan (Ghazali 1981:76).


4.1 PEMIKIRAN POLITIK ISLAM TANAH MELAYU SELEPAS MERDEKA

Pemikiran politik selepas merdeka pula telah menyaksikan penyatuan rakyat-rakyat di bawah satu unit. Namun ada juga pertubuhan-pertubuhan lain yang muncul sebagai reaksi menuntut pilihan raya yang berlaku. Antara pertubuhan yang diketengahkan ialah UMNO, PAS, ABIM dan JIM.

4.2 PEMIKIRAN POLITIK ISLAM UMNO

Pada umumnya orang-orang Islam menganggap bahawa Islam adalah agama yang lengkap, dan merupakan suatu sistem hidup yang sempurna bagi kehidupan manusia, meliputi semua aspek samada sosial, ekonomi, politik dan sebagainya.

Dalam hubungan ini, bagi UMNO ia tidak pernah menunjukkan komitmen yang jelas tentang Islam. Sikap pragmatisnya menyebabkan pandangannya terhadap Islam bercanggah dengan apa yang sedang dan akan dilaksanakan. Pada suatu ketika setengah-setengah pemimpin-pemimpin UMNO mengakui tentang kesempurnaan dan kesesuaian Islam untuk semua zaman dan tempat, tetapi dalam amalannya kenyataan seperti ini seolah-olah ditolak dan tidak diyakini. Sebagai contoh Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, di dalam upacara perasmian pembukaan Pameran Kebudayaan Islam di Muzium Negara Kuala Lumpur pada 7 haribulan November 1971 pernah menyatakan : ( Razali 1992: 55 )

“ Sebenarnya Islam sebagai ad-din yang sempurna tidak pernah usang, tak pernah ketinggalan zaman, merangkumi segala bidang kehidupan manusia, yang sentiasa segar dan sesuai untuk segala zaman, segala tempat dan segala keadaan..satu konsep yang asasi dan satu konsep yang menyebabkan Islam itu terus tersebar luas di mana-mana ceruk dunia ini”.

Selain dari itu, ada juga di kalangan pemimpin UMNO yang pernah menyuarakan supaya Islam diperkenalkan menurut ajarannya yang sebenar, “ Islam is a religion and a way of life and not a way of dying”. Islam adalah agama yang berkait rapat dengan dunia modern ( associated with the modernity ). Ia juga satu-satunya agama yang boleh menerima cabaran dari ideologi-ideologi lain.

Pandangan-pandangan tersebut seolah-olah menggambarkan bahawa UMNO menerima hakikat kesempurnaan Islam, tetapi kenyataan tersebut hanya terserlah pada kata-kata sahaja tetapi tidak menjelma di dalam tindakan dan amalan. Ini dapat dilihat dalam usaha melaksanakan segala program serta menyusun dan mentadbir pemerintahannya negara ia menyimpang dari apa yang dinyatakan ( Razali 1992: 56 ).

Mengikut Fasal Tiga Perlembagaan UMNO, terdapat peruntukan yang menyatakan bahawa UMNO akan mempertahankan Islam sesuai dengan kedudukannya sebagai agama rasmi negara Malaysia. UMNO juga mengakui bahawa Islam merupakan satu faktor yang melahirkan keamanan dan keadilan sebenar di antara rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun istilah mempertahankan Islam yang disebut di dalam fasal Tiga, ceraian tiga Perlembagaan UMNO tersebut menunjukkan bahawa agama Islam yang diperkatakan oleh UMNO hanya terbatas kepada soal-soal tertentu sahaja seperti soal-soal ibadat, sembahyang, puasa, nikah, cerai dan hal-hal yang bersangkutan dengannya sahaja.

Lebih lanjut hal ini dapat diperhatikan daripada sistem pentadbiran dan perundangan di negara ini yang tidak berdasarkan kepada sistem pemerintahan dan undang-undang Islam yang diasaskan kepada al-quran dan as-sunnah ( Razali 1992: 57 ).

Konsep Islam sebagai agama bagi Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan hanya untuk tujuan-tujuan upacara ( ceremonial purposes ) semata-mata, bukannya sebagai asas undang-undang negara. Dalam sebuah negara sekular agama tidak pernah dan tidak akan mempengaruhi proses pentadbiran dan perundangan negara. Ini selaras dengan fahaman sekularisma itu sendiri bahawa antara agama dan politik tidak dapat berganding bahu ( Razali 1992: 58 ).

4.3 PEMIKIRAN POLITIK ISLAM PAS

PAS lahir sebagi sebuah parti politik Islam dengan cita-cita untuk menegakkan sebuah negara di mana hukum-hukum Allah dilaksanakan dalam pentadbiran dan pemerintahannya.

Sebagai sebuah parti Islam, PAS meletakkan Islam sebagai asas dan dasar perjuangannya dan menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Ijma’ dan Qiyas sebagai sumber hukum dan dasar pemerintahan. Pada tahun 1969, perjuangan PAS semakin memuncak setelah PAS melalui dasarnya yang diperjuangkan mendapat sambutan sebahagian besar rakyat Malaysia terutama di dua negeri di Pantai Timur, iaitu Kelantan dan Terengganu. Dalam pilihanraya tahun tersebut PAS memperolehi 12 kerusi Dewan Rakyat dan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri-Negeri, dan terus mempertahankan negeri Kelantan ( Razali 1992: 83 ).

Dalam merealisasikan cita-cita perjuangannya, PAS melibatkan diri di dalam sistem pilihanraya yang wujud di negara ini. Inilah satu-satunya jalan yang dianggap sesuai dan praktikal dalam mencapai cita-cita tersebut dalam negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen.

Berhubung dengan perkara ini, Dato’ Mohammad Asri dalam satu ucapannya menyatakan :

“ Hidup ini tiada ertinya bagi kita kalau Islam hukumnya tidak berdiri dan didirikan. Dalam mencapai hakikat ini ( menegakkan hukum Islam dalam negara ) maka perlulah dengan cara berpolitik dan memasuki gelanggang pilihanraya dalam negara demokrasi di negara ini”.

Dari segi kaedahnya PAS merasakan bahawa menyertai pilihanraya ada manfaat dan faedahnya serta keharusannya menyertai pilihanraya, tetapi aliran politiknya dianggap sesuai mengikut lunas-lunas ajaran Islam yang berdasarkan kaedah; berganding bahu ( Razali 1992: 84 ).

“ Tidak sempurna yang wajib kecuali dengan adanya sesuatu, maka sesuatu itu menjadi wajib”.

Mungkin PAS mengambil kira kaedah ini yang membawa maksud bahawa melaksanakan hukum Allah sebagai wajib bagi pemerintah kerana setengah hukum Islam tidak boleh dijalankan oleh orang-orang perseorangan kecuali orang pemerintah. Bagi PAS dalam keadaan pemerintahan yang tidak Islam, maka wajib mewujudkan sebuah jamaah yang mendokong dasar Islam dan mengajak rakyat sama-sama berjuang dalam jamaah tersebut sehingga jamaah ini boleh menguasai pemerintahan negara akhirnya. Maka ini bagi PAS menjadi perkara yang wajib. Bagi PAS kejayaan bukanlah sekadar memenangi pilihanraya, tetapi kejayaan melepaskan dari sebarang pengabdian selain dari Allah, harta benda atau sebagainya. berganding bahu ( Razali 1992: 85 ).

PAS melihat bahawa perjuangan Islam dalam kenegaraan tidaklah beerti memaksa orang bukan Islam supaya memeluk agama Islam, kerana dalam ajaran Islam kebebasan beragama dan hak asasi manusi adalah dijamin oleh negara. Bagi PAS memperjuangkan Islam ialah menyeru rakyat supaya mereka mengetahui hukum Islam, bukan sahaja aqidah dan ibadah semata-mata. Malah meliputi semua urusan masyarakat dan kenegaraan dan lebih jauh dari itu merupakan sistem pemerintahan yang diterima oleh semua pihak.

Walau penduduk Malaysia berbilang kaum dan agama tetapi tidak bermakna PAS ingin memaksa mereka supaya memeluk Islam. Apa yang diperjuangkan oleh PAS ialah memberi kefahaman dan kesedaran tentang keadilan dan kebaikan Islam kepada seluruh masyarakat, sebagai suatu cara kea rah pencapaian matlamat yang lebih besar iaitu pembentukan sebuah negara Islam yang terlaksana di dalamnya hokum-hukum Islam berganding bahu ( Razali 1992: 86 ).

Bagi PAS menjunjung hukum Allah kerana mencari keredhaanNya merupakan tujuan hidup setiap orang Muslim dan itulah yang menjadi tujuan asas bagi PAS. Perjuangan politik di negara ini yang dilaksanakan oleh PAS adalah perlaksanaan daripada tujuan hidup sebagai umat Islam. Pandangan seperti ini hampir sama seperti apa yang diperkatakan oleh oleh pemimpin Jamiat Islami Pakistan iaitu al-Maududi. Selanjutnya PAS menolak pandangan pendokong-pendokong berbagai aliran dan fahaman di negara ini yang merasa yakin bahawa konsep dan fahaman yang mereka bahawa boleh memberi kebahagian dan kesejahteraan kepada negara ini. Sebaliknya PAS dengan tegas menyatakan bahawa dengan konsep Islam sahaja negara ini akan selamat dan terpelihara selama-lamanya. berganding bahu ( Razali 1992: 87 ).


4.4 PERTUBUHAN JAMAAH ISLAM MALAYSIA ( JIM )

Pertubuhan Jamaah Islam Malaysia (JIM) juga merupakan salah satu Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang telah meletakkan asas aktiviti dan pergerakannya berdasarkan dakwah dan tarbiah. Tercatat di dalam Fasal 4: Dasar dan Objektif Undang-undang pertubuhan JIM menyebut bahawa dasar JIM ialah Islam. Adapun objektifnya pula ialah:

  1. Mendukung cita-cita dan aspirasi Islam yang unggul.
  2. Melaksanakan kegiatan dakwah Islamiah kepada semua lapisan masyarakat.
  3. Menggembleng tenaga masyarakat dalam rangka membentuk masyarakat yang progresif dan dinamis dalam semua aspek kehidupan.
  4. Mendukung konsep kesatuan berdasarkan kepada prinsip persaudaraan Islam dan nilai-nilai kemanusiaan sejagat.
  5. Mencapai objektif-objektif lain yang dituntut oleh al-Quran dan al-Sunnah Rasullah (s.a.w) dengan tidak melanggar mana-mana peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan atau Majlis Agama Islam dan enekmennya. ( Undang-undang Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia )

JIM secara umumya dapat dilihat sebagai satu organisasi dakwah yang telah meletakkan cara dan kefahaman dakwah Jamaah al-Ikhwan al-Muslimin sebagai sebahagian sumber rujukan dalam pergerakan dakwahnya. Saari Sungip yang pernah memegang jawatan presiden JIM dalam membicarakan kebangkitan Islam di Abad Ke Dua Puluh secara jelas menyebut bahawa Jamaah al-Ikhwan al-Muslimin yang dipimpin oleh al-Imam Shahid Hasan al-Banna merupakan sebuah gerakan yang paling berkesan di permulaan Abad Ke Dua Puluh. Malahan al-Ikhwan al-Muslimin menurut beliau lagi seolah-olah mengambil alih peranan khilafah Islamiah yang tidak lagi wujud di masa itu. Menurut beliau lagi bahawa dalam dalam usha kebangkitan Islam sebenar tidak ada seorang pendakwah atau jamaah Islam yang tidak dipengaruhi oleh pemikiran dan penulisan-penulisan ulama al-Ikhwan al-Muslimin dan Maulana al-Mawdudi. ( Mohamad Lokman 2002: 51 ).

4.4.1 Matlamat dan halatuju JIM

Saari Sungib atau lebih dikenali dengan Abu Urwah telah menggariskan halatuju dan halacara JIM dalam menoperasikan misi Berma Islam Membina masyarakat melalui buku tulisan beliau bertajuk Bersama Menggaris Agenda Ummah. Dalam buku tersebut beliau telah memeberi penekanan terhadap beberapa noktah penting merangkumi persoalan pembinaan masyarakat dengan Islam, persoalan politik dan perlaksanaan syariat di Malaysia. ekonomi dan sumber tabungan ummah, cabaran wanita dwi-kerjaya, kecemerlangan akademik dan peranan ahli dalam menjayakan dakwah ( Mohamad Lokman 2002: 52 )

4.4.2 Biro Tarbiah JIM

Melalui Biro Tarbiah JIM juga telah menerbitkan satu buku silibus tarbiah yang menjadi rujukan dan panduan utama dalam menjana pena fikrah dan dakwah JIM khususnya bagi pengisian dalam aktiviti usrah untuk para ahli dalam semua peringkat. Silibus ini berbeza antara ahli baru dengan ahli yang sudah lama berkecimpung bersama JIM. Pemeringkatan ahli dalam JIM sangat diberi penekanan berdasarkan silibus usrah demi memastikan kemantapan kefahaman Islam dan amal dakwah. Mislanya dalam menentukan kefahaman Islam yang baik Biro Tarbiah JIM telah menyediakan sepuluh modul tarbiah iaitu modul 1 hingga modul 3 mengambil masa selama satu tahun, modul 4 hingga modul 5 selama satu tahun dan modul 6 hingga modul 10 selama tiga tahun. Kesemua modul ini disusun adalah bertujuan memantpkan ahli JIM dari sudut Akidah Islam, fikrah Islam, amal Islami dan pengurusan organisasi. Secara jelasnya kesemua modul ini adalah sebagai persiapan diri para ahli untuk turun ke medan dakwah sebenar iaitu masyarakat bagi melaksanakan dakwah Islam dan mengembalikan kecemerlangan umat.

JIM telah bergerak aktif dalam membina keupayaan ahli dan memiliki pengalaman dakwah dalam masyarakat yang mencakupi ceramah-ceramah, kursus-kursus, latihan, usrah, wacana intelektual, penulisan, penerbitan, lawatan, muzakara, ziarah, interaksi bersama, qiamullail, mukhayam dan lain-lain ( Mohamad Lokman 2002: 53-54 ).


4.5 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA ( ABIM )


Angkatan Belia Islam Malaysia ditubuhkan pada tahun 1971, hasil daripada cadangan yang dikemukakan di dalam Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia ( PKPIM ) pada bulan Ogos, 1969 ( Razali 1992: 127 ).

Presiden ABIM yang pernah dinyatakn dalam buku ialah Siddiq Fadhil. Selain itu, veteran ABIM yang pernah terlibat dengan ABIM ialah Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir yang pernah menjawat jawatan Yang Di Pertua ABIM Wilayah ( 1981-1988 ) ( Mohamad Lokman 2002: 53-54 ).

Terdapat tiga tujuan besar daripada penubuhan ABIM. Pertamanya, ialah untuk menyediakan suatu platform atau landasan kepada para mahasiswa dari universiti-universiti dan kolej-kolej di negara ini yang bergiat cergas dalam kegiatan dakwah semasa di kampus untuk meneruskan kegiatan Islam selepas keluar dari Universiti. Keduanya, bagi memenuhi kekosongan, lantaran kurangnya organisasi-organisasi yang dapat mengurus kepentingan dan kebajikan belia-belia Islam sebagai jalan kepada kebangkitan semula Islam di Malaysia.

Di samping itu, penubuhan ABIM juga bertujuan untuk menegak, mengembang dan memperjuangkan cita-cita Islamiah sesuai dengan Al-Quran dan Sunnah Rasullah. Hasrat ini akan dilaksanakan dengan menjalankan dakwah Islamiah dengan cara progresif kepada selururh lapisan masyarakat melalui cara yang dibenarkan oleh pihak kerajaan. ABIM juga berhasrat mengembeling tenaga belia Islam seluruh negara untuk sama-sama bekerjasama memberi bantuan dan sokongan untuk meningkatkan taraf kehidupan di dalam semua lapangan termasuk sosial, ekonomi, pelajaran, kebudayaan, falsafah dan teknologi ( Razali 1992: 127 )

KESIMPULAN.

Setiap kesatuan dan persatuan yang wujud di tanah melayu samada sebelum dan selepas merdeka memainkan peranan yang penting dalam politik negara. Politik negara sebelum merdeka dapat dilihat dari segi pemikirannya lebih mengutamakan kepada tuntutan kemerdekaan daripada penjajah. Manakala, selepas kemerdekaan pula politik di tanah melayu lebih menjurus kearah kebajikan negara yang lebih baik walaupun wujudnya pemikiran politik yang berbeza-beza dari pelbagai pertubuhan.

Secara keseluruhannya, kelompok-kelompok politik yang mewakili orang Melayu yang telah muncul sebelum tahun 1957 ini sememangnya telah mengadakan kegiatan masing-masing dalam mencapai konsep persatuan atau parti mereka. Pencapaian-pencapaian yang telah dicapai oleh kelompok-kelompok ini telah memberikan banyak manfaat kepada bangsa, agama dan negara secara keseluruhannya. Oleh yang demikian, parti-parti politik yang lain seharusnya mengambil ikhtibar daripada kelebihan atau kelemahan kelompok-kelompok politik ini.

Rujukan

Abdul Rahman Abdullah. Pemikiran Islam di Malaysia sejarah dan aliran. Jakarta: Gema Inani Press.

Abdul Samad Idris. 1982. 25 tahun merdeka. Kuala Lumpur: Pustaka Budiman.

Amaluddin B. Darus. 1979. Lintasan politik Malaysia. Kuala Lumpur: Pustaka Abad

Fuziah Shaffie, Ruslan Zainuddin. 2001. Sejarah Malaysia. Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Ghazali bin Shafie. 1981. Malaysia: Nilai politik dan budaya. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.

Jaffary Awang& Kamaruddin Salleh, 2007. Pemikiran Islam dan isu-isu semasa. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ja’afar Onn. 2007. Umno dan Malayan Union. Selangor: MPH Group Publishing

Kamaruddin Jaafar. 2000. Burhanuddin al-Helmy Pemikiran dan perjuangan. Kuala Lumpur: Ikdas Sdn. Bhd.

Maymon Arif. 1973-79. Kegiatan politik melayu tahun 1930an. Jurnal Jebat 4: 47-49.

Mohamad Lokman bin Awang. 2002. Pemikiran dakwah Mustafa Mashhur dan pengaruhnya terhadap gerakan Islam di Malaysia , Tesis Ijazah Sarjana , Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi Selangor D.E.

Mohd Tajuddin bin Abdul Rahman. 1987. Dato’ Onn Jaafar tokoh nasionalis. Selangor: Pelanduk Publications.

Ramlah binti Adam. 2004. Gerakan radikalisme di Malaysia (1938-1965). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Razali bin Awang. 1992. Pemikiran politik Islam di Semenanjung Malaysia selepas merdeka 1969-1979 dan kesan-kesan selepasnya, Tesis Ijazah Sarjana, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi Selangor D.E.

(http://www.geocities.com/rifdan2002/spbm.htm)

1 comment:

@isyah hum@ira said...

kena baca ni....masuk exam ni...huhu
dan lagi satu baca sbb nk tmbh ilmu....thanks wawa...('',)