Islam is the way of my Life

Thursday, May 13, 2010

Ibn Hazm al-Andalusi : Satu analisis Biografi

Wan Kamal Mujani, Noor Inayah Yaakub, Adibah Sulaiman & Ezad Azraai Jamsari

Ibn Hazm ialah seorang ulama Andalus terkemuka sejak dahulu hingga kini, dan hasil penulisannya masih lagi dirujuk dan diguna pakai. Ibn Hazm atau nama penuhnya al-Imam al-Hafiz Abu Muhammad Ali b. Ahmad b. Sa’id b. Hazm b. Gahlib b. Salih b. Khalaf b. Ma’dan b. Sufyan b. Yazid mawla Yazid b. Abi Sufyan Sakhr b. Harb b. Umayyah b. Abd al-Shams al-Umawi, dilahirkan di Cordova pada tahun 384H/994M. Ketika itu, ayahnya merupakan seorang menteri dalam kerajaan al-Amiriyyah yang memerintah Andalus atas nama Khalifah al-Umawi, Hisyam al-Mu’ayyad.

Pada peringkat awal, Ibn Hazm didik oleh pengasuh-pengasuh istana dan merekalah yang mengajarkan kepadanya al-quran dan syair-syair . Ibn Hazm telah mempelajari serta mendalami pelbagai ilmu pengetahuan seperti fiqh, Hadith, falsafah, bahasa arab, teologi, etika, mantik dan ilmu psikologi. Dalam bidang fiqh, pada mulanya Ibn Hazm mempelajari fiqh Mazhab Maliki kerana majoriti masyarakat Andalus dan Afrika Utara berpegang kepada mazhab ini. Hasil pemahaman Ibn Hazm daripada kitab-kitab lain telah mendorong beliau untuk mendalami kitab fiqh yang dikarang oleh Imam Shafi’i dan murid-muridnya. Walau bagaimanapun, beliau tidak kekal lama dengan Mazhab Shafi’i dan kemudian berpindah ke Mazhab Zahiri setelah mempelajari kitab fiqh karanga al-Mundhir b. Sa’ad al-Balluti.

Kesungguhan Ibn Hazm menuntut ilmu dalam pelbagai bidang telah membawa beliau berguru dengan ramai ulama ketika itu. Antara guru beliau dalam bidang fiqh ialah Abu ‘Umar Ahmad b. Muhammad al-Jasur, Abu ‘Abd Allah b. Dahwan, ‘Ali b. Sa’id al-‘Abdari dan Zahiri yang merupakan guru berpengaruh terhadap Ibn Hazm. Ibn Hazm turut mempelajari mantik dan falsafah daripada Muhammad b. al-Hassan al-Muzahji dan Ahmad b. Muhammad b. ‘Abd al-Waris. Kesungguhan Ibn Hazm menunutut ilmu menyebabkan beliau dapat mewarisi bermacam-macam bidang ilmu pengetahuan.

No comments: